Monday, September 29, 2008

Kerana Simpati Aku Terpedaya

28 September 2008

Aku berkesempatan ke bandar Kota Kinabalu bertemankan 2 orang sahabatku K.Atifah dan Farah. Niat di hati, nak beli sedikit-sebanyak keperluan untuk syawal ni. Sampai je kat bandar KK tu, terus je parking motor, apa lagi meronda-rondalah kami kat Tamu tu. Ramai betul manusia. Biasalah, hari minggu. Tambah-tambah lagi cuti sekolah dan nak rayalah katakan.

Siap je meronda, kaki pun dah mula lenguh. Tapi ada lagi rupanya tempat nak dituju lepas ni. K.Atifah nak g CP lah pulak. Nak baiki pendrive. Penat-penat jugak, tapi kesian lah pulak kat sahabt, teman lah jugak.

Sebelum tu, kami g lah CIMB, ambik duit sikit. Keluar je dari bank, berjalanlah kami menuju ke tempat parking motor. Dalam perjalanan yang singkat tu, terserempak lah kami dengan seorang lelaki.

"Excuse me, kamu tahu ke UMS di mana?"
"Oooo, nak gi UMS ke? Senang je, kamu ambik je bas ke sana. Sampai kat perhentian bas tu, kamu tanyalah mana satu bas nak gi UMS " jawab aku ringkas
"Emmm. Tapi saya nak gi UiTM" tambah lelaki tu
"UiTM? Ada jugak tu bas di sana, kamu tanya je ye" jelas K.Atifah lembut
"Kamu ambik kos ap kat sana?" duga K.Atifah
"Emmm,saya punya laptop, handset semuanya kena curi orang kat kedai kopi semalam. Sekarang ni saya nak balik Labuan. Tak jadilah gi UiTM" lelaki tu cuba nak mengelak pertanyaan kami
"Jadi?" tanya aku tak puas hati dan tak berapa faham situasi tu
"Sekarang ni saya tak kisah sudah tentang UiTM tu, saya nak balik Labuan ja" mata lelaki tu berkaca nak jelaskan situasinya kepada kami
Aku bisik dengan K.Atifah "dia nak duit lah tu"
Tanpa fikir panjang,kami tanya dia, "berapa tiket nak gi Labuan?"
"RM 41" jawabnya
Aku buka beg duit, ambik duit kertas RM50, terus bagi. Kesian rasanya. K.Atifah terpinga-pinga dengan perbuatan aku. Tak sempat dia nak sekat tindakan aku. Ibarat mengiakan je.
Atas motor je, aku terfikir pula. Aku ni kena tipu ke? Nombor telefon ayahnya yang dia bagi tu, K.Atifah cuba mesej, tapi tak berbalas. Ditelefon, tapi rupanya nombor tu tiada dalam perkhidmatan.

Adoiii. Aku terpedaya. AstaghfiruLlahal'azim.
Tu je duit yang ada untuk Syawal ni.

Moralnya: Bila difikir-fikirkan, mungkin ada betulnya, ia bukan rezekiku. Dah rezeki lelaki tu. Teringatlah kau kat kata-kata seorang sahabat,muhasabah semula. Mungkin sebelum ni, aku tak guna duit itu sebaiknya. Mungkin aku belum cukup menyumbangkan duitku untuk gerak kerja Islam. Emmmm.. Betol jugak katanya. Ini sebenarnya pengajaran Allah untukku dan sahabat yang lain. Semoga ada sinar kebaikan dan perubahan untuk hari yang mendatang. Insya-Allah

Saturday, September 27, 2008

Uhibbuka Fillah

Pagi tadi, tepat jam 6 pagi. Aku menelefon ummi di rumah. Walaupun hakikatnya aku baru je menelefon ummi untuk kejutkan ummi sahur. Sebenarnya, aku nak berborak dengan abah. Terasa lama pula tak mendengar leteran dan nasihat dia. Maklumlah, tiap kali telefon, mesti cakap dengan ummi. Mungkin abah terasa hati dengan tingkah aku. Bukan aku sorang macam ni, K.Long, K.Cik, K.teh pun macam tu jugak. Kalu telefon je, nak cakap dengan ummi, Jarang sekali lah nak minta cakap dengan abah. Bukan apa, abah ni garang orangnya, anak-anak pun takut. AstaghfiruLlahal'azim..

Selepas solat subuh pagi tadi, aku mengadap lah laptop, nak dengar lagu nasyid. Tak tahu lah kenapa tangan ni nak sangat tekan lagu nyayian Ae-Man, tajuknya AYAH..bukan lagu je, tapi video klip motivasi sekolah. Dalam aku tak sedar, air mata aku mengalir, aku hayati betul-betul bait setiap patah perkataan dalam lagu tu.

Ketika berjauhan
Masih terasa hangat kasih mu ayah
Betapaku rindukan
Redup wajahmu hadir menemaniku
Terbayang ketenangan yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan

Walau hatimu sering terluka
Tika diriku terlanjur kata
Tak pernah sekali kau tinggalkan diriku sendirian
Ketika ku dalam kedukaan
Kau mendakap penuh pengertian
Di saat diriku kehampaan
Kau setia mengajarku erti kekuatan

Terpancar kebanggaan dalam senyummu
Melihatku berjaya
Bilaku kegagalan tak kau biarkan aku terus kecewa
Dengan kata azimat
Engkau nyalakan semangat
Restu dan doa kau iringkan

Buat abah tercinta, maafkan k.yong dan anak-nakmu yang lain. Andai tidak-tanduk kami ada yang mengguris hati abah dalam keadaan kami sedar atau pun tidak, ampunkan kami. Tiada bezanya antara ummi dan abah dalam hidup kami. Ummi dan abah terlalu istimewa. Didikan agama yang abah terapkan, kami cuba aplikasikan. Andai kami tersilap langkah, betulkan kami.

Abah yang k.yong sayangi kerana Allah. Terimakasih, abah atas segala pengorbanan. Terima kasih kerana bersabar dengan kerenah k.yong yang sering membuatkan abah dan ummi menagis sebelum ini. Abah tak pernah tinggalkan k.yong di waktu k.yong terkapai-kapai dalam kejahilan dahulu. Terima kasih abah.

Nak rasanya cium pipi abah dan ummi. Sudah banyak rupanya kedut-kedut dan garis-garis tua pada wajah ummi dan abah. Terlalu cepat masa berlalu. Terasa baru semalam k.yong bermain patung arnab yang abah berikan.

Terasa baru semalam abah buatkan air susu untuk k.yong. Terasa baru semalam abah tersenyum melihatkan gelagat anak kecil yang bernama Nik Nurulsyuhada'..

Namun abah, k.yong kini telah bergelar remaja. Remaja yang belum kuat sebenarnya menghadapi dugaan hidup ini. Doakan k.yong dan anak-anak abah yang lain ye.

Abah, UHIBBUKA FILLAH...semoga abah tergolong sebagai seorang hamba yang soleh, suami yang bertanggungjawab, ayah yang terbaik , anak yang soleh dan yang pastinya abang sulong yang terlalu sayangkan adik-adiknya. Ameen

Friday, September 26, 2008

Aku Tak Miliki Apa-apa Pun

Melainkan 2 mata yang mampu mendongak ke langit, menghitung bintang-bintang yang bertaburan dan menyaksikan segala kejadian Tuhan. Yang pastinya ia cuma pinjaman. Aku tidak miliki apa-apa pun sebenarnya. Miliki hidung yang mampu bernafas, menghela udara segar milik Tuhan Yang Esa, dan menghayati harumnya bau bunga mawar jika dibandingkan bunga matahari yang tiada baunya. Namun hakikatnya ia jua cuma pinjaman untukku. Telinga yang aku gunakan untuk mendengar seruan azanMu. Disamping itu tidak lupa juga aku selang-selikan dengan umpatan mulut manusia yang petah bercerita tentang keburukan dan maruah insan lain. Tetapi malangnya, bila aku fikirkan sejenak, ia jua satu pinjaman yang pasti dipulangkan kepada pemilik abadinya.

Tidak pernah ku lupa, akan kecekapan jari-jemari ini bermain pena dan biji-biji huruf di komputer riba ini sehingga terhasil lah nukilan-nukilan yang mungkin tidak lah seberapa nilainya. Kecekapan ini bakal dirampas dariku bila tiba masanya. Sekali lagi membuktikan, aku tidak punyai apa-apa. 2 batang kaki yang aku rasakan sempurna dengan dihiasi 10 batang jari, aku gunakan untuk melangkah ke Rumah Allah, tatkala seruan azan berkumandang menjemput aku berjamaah bersama-sama. Namun dalam mengerjakan ketaatan kepadaNya, langkah ini tidak pernah terkecuali daripada menderhakaiMu. Kerana pada ketika itu aku terlupa bahawa ia bukan milikku. Tersedar aku dari lamunan, rupanya ia akan dipersoal oleh Allah di Mahsyar kelak, dan kaki ini bakal memberikan jawapan, tanpa sebarang penipuan.

Ya Alah....
Aku tak miliki apa-apa pun, melainkan semuanya adalah pinjaman semata-mata. Baik pancainderaku, mahupun hatiku ku, begitu juga dengan nyawa dan jasad ini. Hidayah, ni'mat iman dan Islam juga suatu pinjaman buatku.

Namun Ya Allah...
Aku sombong..Aku bongkak..Aku takbur dengan segala ni'matMu...Mengapa mata ini terasa hina bila memandang insan yang miskin, insan yang kulitnya berkudis..Kenapa Ya Allah?? Sedangkan hakikatnya, mata ini Kau anugerahkan untuk aku membuat pertimbangan dengan iman dan rasa sayang seoarang insan. Betapa peritnya kesusahan insan lain, betapa mereka mendamba bantuanku.

Ya Allah...
Aku degil..aku pentingkan diri sendiri..Mengapa tenaga mudaku ini..aku bazirkan dengan perbuatan yang melalaikan..Aku tinggalkan sahabat-sahabatku sendirian bertungkus-lumus melakukan kerja..Berpeluh keringat memperjuangkan Islam..Namun aku masih sempat menghayunkan kaki dan tangan..Tanpa rasa simpati sedikit pun.

Ya Allah...
Jika ingin ku hitung ni'matMu..Aku tidak termampu..Jika aku ingin hitung dosaku padaMu..aku juga tidak terdaya..Kerana telah terlalu banyak aku buat Kau kecewa dengan sikapku..Namun, Kau tidak pernah berputus asa untuk terus memberi yang terbaik untukku..Terima kasih Wahai Tuhanku

Wahai Insan....
Hidup ini cuma sementara..apa yang kita miliki hari ini, bukan milik kita..ia akan dituntut suatu hari nanti..ini adalah janji yang pasti.. dari Tuhan Yang Maha Memberi..

Wahai Insan...
Sedarlah, kita tak miliki apa-apa pun sebenarnya..Kita lahir dalam keadaan tiada sehelai kain pun pada tubuh kita. dan mati kita jua hanya bertemankan beberapa helai kain kapan sahaja..Buang sejauh-jauhnya sifat takbur dan sombong..Ingat lah..Kita dari air mani yang hina..Bila jatuh ke tanah, itik tak akan sudu, ayam tak sanggup nak patuk..manusia tak pandang pun walau sekilas pandangan.. Betapa hinanya kita..Namun, Allah izinkan kita dimuliakan..Disatukan dalam rahim seorang ibu..Dan dilahirkan ke dunia sebagai manusia..Yang pada hakikatnya lebih mulia dari binatang dan makhluk yang lain..

Namun..Perlu diingatkan..dimuliakan kita ada sebabnya..Kita ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan..dan yang pastinya kita tidak dapat lari daripada sebarang pengadilan Tuhan..

Fikir-fikirkanlah

Wednesday, September 24, 2008

Salam Lebaran Penuh Keberkatan

ALLAHU AKBAR!!ALLAHU AKBAR!!ALLAHU AKBAR!!

Syukur kepadaMu Yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa.Kau masih anugerahkan aku setangkai nyawa yang aku bawa kemana-mana sahaja jasadku beredar. Dengan sifatMu Yang Maha Pemurah, Kau masih anugerahkan aku kesempatan untuk terus menjalani ibadah puasa untuk kali ini dan semoga ia Ramadhan yang terbaik untuk diriku dan buat muslimin muslimat semua.

Tinggal beberapa hari lagi, Ramadhan Al-Mubarak akan melabuhkan tirainya dan menandakan Syawal pula bakal menjenguk kita. Sedar ataupun tidak sedar, Syawal yang bakal menjelma nanti membuktikan kejayaan buat hamba Allah yang taat dan soleh akan perintahnya. Lapar dahaga yang sama-sama kita tempuh sepanjang bulan Ramadhan ini sebenarnya telah banyak menyedarkan kita bahawa kita juga mampu mendidik nafsu dan kemahuan diri yang selama ini merantai dan membelengggu fikiran. Yang merokok dapat mengurangkan bilangan batang rokoknya, yang mengumpat dapat meminimumkan patah kata mereka. Namun muslimin dan muslimat sekalian, bukan semua ini yang menjadi tajuk utama. Tetapi saya ingin mengajak kita semua menilai kembali, bagaimana dengan tahap amalan puasa kita? Adakah lapar dan dahaga sahaja yang kita perolehi? Ataupun dengan tarbiyyah ini, kita berjaya mendidik dan mengawal runtunan nafsu? Fikir-fikirkanlah..
Gunakan sisa hari yang ada di bulan Ramadhan ini untuk pastikan ia diakhiri dengan sebaik mungkin dan Syawal yang bakal tiba adalah teramat bermakna. Wassalam.

Monday, September 15, 2008

Warkah Buat Para JunduLlah

Assalamu'alaikum buat adik-adik dan sahabat sahabiah yang bersama-sama mendokong perjuangan Islam...

Buat pertama sekali, syukur dipanjatkan ke hadrat Allah, kerana masih lagi diizinkan oleh Allah untuk kita terus menghela nafas kehidupan dan berpeluang hingga ke saat 15 Ramadhan ini. AlhamduliLlah..

Adik-adik dan sahabat-sahabiah sekalian..

Sedar atau tidak, terlalu cepat masa berlalu..Rebana Jihad telah dibunyikan..Semboyan perjuangan turut ditiupkan..Buktinya telah tiba saat untuk kita melangkah ke medan jihad yang sebenar..Walaupun bermain dengan konflik dalam diri, namun yakinlah semua bahawa kita semua pilihan Allah.. Yang bergelar jentera, ada fungsinya..Calon pula ada peranannya..

Jangan sesekali gentar..Sahut seruan ini dengan penuh keyakinan dan keazaman.. Janjikan yang terbaik untuk Islam..Andai berasa lemah, mohon Allah kurniakan kekuatan..


Tuesday, September 9, 2008

Mohon Dengan Sangat

Wahai Rabb Yang Maha Pengasih
Lagi Maha Penyayang
Yang Memiliki Segala Kelebihan
Jua Kekuasaan
Sedangkan aku hamba yang amat lemah
Yang bergantung harap hanya pada-Mu
Demi hakikat sebuah iman
Dan amanah yang aku galas
Sebagai janji yang telah dimeterai
Sejak aku di alam roh lagi
Dan terus ku bawa ke alam dunia ini
Yang pastinya bakal berakhir
Kerana masih ada suatu destinasi abadi yang akan ku tuju
Sebagai penentu
Siapakah aku di sisi-Mu
Syurga atau neraka tempatku
Aku sendiri tidak ketahui jawapannya
Ya Allah
Hamba Mohon dengan sangat
Jadikanlah ramadhan hamba kali ini
Adalah yang terbaik dari yang telah berlalu
Kerana yang berlalu tetap akan pergi

Mohon dengan sangat
Bimbing hati ini Ya Rahman
Biarkan hamba terus hanyut dengan cinta-Mu
Daripada hamba terus lalai dari cinta dunia
Meskipun cinta dunia itu nampak indahnya di mata manusia
Namun bercinta denganMu memberikan hamba seribu ketenangan

Mohon dengan sangat
Dodoikan hamba dalam zikir terhadapMu
Hidangkan kepada hamba dengan tarbiyyah yang utuh
Yang bisa membentengi hamba dari kemaksiatan
Yang mampu membuatkan hamba asyik dengan ibadah kepadaMu
Kerana inilah hakikat kejadianku

Mohon dengan sangat
Moga risalah Islam yang hamba nobatkan di hati
Dapat dikongsi bersama insan-insani
Kerana ia rahmat kepada semua
Yang perlu disampaikan
Meskipun masih ada telinga yang masih tidak mahu menerima
Ada hati yang masih terkunci rapi
Namun Ya Allah
Berikan kekuatan dan ketabahan
Kerana ia wajib ku sampaikan

Monday, September 1, 2008

31 Ogos@ 1 Ramadhan??

Ulangtahun kemerdekaan negara yang ke -51 telahpun menjelma tiba. Hari yang diraikan dengan penuh gilang-gemilang oleh rakyat Malaysia kerana mengenangkan peristiwa dan saat bebasnya negara Malaysia dari cengkaman penjajah. Namun, tidak memadai sekiranya ia hanya disambut tanpa penghayatan. Tiada guna laungan MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA! Jika jiwa dan minda masih menyanjungi Barat sebagai idola.

Jangan kita semua lupa, sebagai seorang Muslim, 1 Ramadhan juga hadir menjenguk kita untuk sekali lagi. Setelah setahun berlalu, ia kembali menjenguk kita dengan membawa harapan yang besar agar kita isi dengan sebaiknya. Di sini, ana ingin membuka minda semua dengan 1 persoalan yang mungkin dirasakan keanak-anakan, tapi bagi ana, ia cukup serius dan penting. Bagaimana persiapan kita untuk menghadapinya? Dari segi fizikal, emosi, minda dan yang paling penting adalah rohani. Ana risau dan khuatir, persiapan kemerdekaan lebih mantap berbanding persiapan Ramadhan. Fikir-fikirkanlah.

Jadikanlah Ramadhan ini sebagai litar untuk memerdekakan jiwa, nafsu, minda dan fizikal dari pelbagai keburukan dan kejahilan. Semoga dengan cara ini, bukan sahaja negara kita yang merdeka, tetapi kita juga merdeka dari cengkaman neraka. Insya-Allah.

Wassalam