Sunday, November 16, 2008

Cerminlah Diri Sendiri

1. Senyum itu tanda kemesraan, diberi kepada manusia dianggap sedekah. Ketawa itu lambang kelalaian. Selalu dilakukan hati akan mati. Dibuat di hadapan manusia menghilangkan maruah diri.

2. Setiap kesalahan yang dilakukan jadikanlah pengajaran, insaflah ini tanda kelemahan diri, kesalilah keterlanjuran itu dan berazamlah tidak mengulanginya lagi.

3. Syukur nikmat dan sabar di dalam ujian amat mudah diucapkan tetapi amat sulit dilaksanakan.

4. Kesenangan dan kemewahan selalunya membawa kepada kesombongan dan kelalaian. Kesusahan dan penderitaan itu, selalunya membawa kekecewaan dan putus asa, kecuali orang yang mukmin.

5. Di antara tanda-tanda orang-orang yang sombong itu cepat melahirkan sifat marah, suka memotong percakapan orang, suka bermujadalah yakni bertegang leher, nampak di mukanya rasa tidak senang jika ada orang yang lebih darinya di satu majlis, bercakap meninggikan suara, pantang ditegur, tidak ada tanda-tanda kesal di atas kesalahan.

6. Orang yang sudah hilang sifat marah (dayus), cepat melahirkan sifat marah (lemah mujahadah). Orang yang ada sifat marah tapi dapat disembunyikan kecuali di tempat-tempat yang munasabah inilah manusia normal.

7. Tahu diri kita hamba itu adalah ilmu, merasa diri kita itu hamba itu penghayatan, yang kedua inilah akan lahir sifat tawaduk, malu, khusyuk, takut, hina dan lain-lain lagi sifat kehambaan.

8. Jika kita mengingati dosa, kita tidak nampak lagi kebaikan kita, apatah lagi untuk dibanggakan.

9. Lahirkan kemesraan kita sesama manusia kerana itu adalah haknya tapi jangan putus hati kita dengan ALLAH, ini adalah hakNYA pula.

10.Apabila rasa senang dengan pujian, rasa sakit dengan kehinaan menunjukkan kita ada kepentingan peribadi, tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan

Friday, November 14, 2008

Isu Makanan Pengubahsuaian Genetik (GM)

Melawan lumrah alam, menukar kejadian alam dan pertikaian dakwaan isu hak milik produk merupakan isu hangat dalam bioteknologi. Di negara-negara Barat, isu makanan yang telah melalui pengubahsuaian genetik (GM) ini dibahaskan sehangat isu halal haram di negara-negara Islam. Perdebatan menyentuh berkenaan dengan isu keselamatan makanan, kemungkinan kesan buruknya terhadap alam sekitar, perubahan ekosistem dan isu etika.

Tidak dapat dinafikan, makanan GM ini telah mula ‘dihidangkan’ semenjak tahun 1996 lagi. Makanan GM pertama yang dikomersialkan adalah tanaman tomato yang dipanggil ‘FlavrSavr’ dihasilkan oleh Calgene (Brainyencyclopedia, 2004). Pada tahun 1992, Calgene telah menghantar tomato ini kepada U.S Food and Drug Administration (FDA) untuk dijalankan ujikaji.

Menerusi keputusan yang diperoleh daripada FDA, tomato ‘FlavrSavr’ didapati tidak mengandungi bahan yang membahayakan kesihatan sekaligus tidak memerlukan sebarang label pemberitahuan bahawa ia adalah makanan GM. Keputusan ini juga membolehkan tomato ini dipasarkan pada tahun 1994.

Makanan GM ini dicetuskan sebagai suatu langkah bagi memenuhi permintaan penduduk dunia yang semakin berkembang selain meningkatkan kualiti dan kuantiti makanan. Ia juga bagi tujuan bantuan makanan kepada kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan di dunia ketiga seperti Afrika. Dikatakan ketika ini lebih 842 juta orang atau dua per tiga penduduk dunia mengalami kebuluran dan kekurangan zat manakala 1.3 bilion orang dikategorikan dalam kategori daif dengan pendapatan per kapita kurang daripada USD$1 sehari (Ansel M. Sharp, 2005.

Kendatipun tujuan awalannya kelihatan tulus murni, makanan GM masih lagi berada di dalam kategori ‘kelabu’ atau samar-samar. Sehingga ke hari ini, tiada jaminan diberikan terhadapnya untuk pengambilan jangka panjang. Menerusi kajian para saintis, makanan GM ini masih terdapat kekurangan yang mampu membawa padah kepada manusia dan alam.

Edwin Chargoff, yang dirujuk sebagai Bapa Biologi Molekul, pernah menyatakan bahawa pengubahsuaian genetik di dalam makanan ibarat “Suatu eksperimen yang paling besar dan berbahaya di dalam sejarah manusia.” Beliau mengibaratkan pengubahsuaian ini sebagai ancaman yang paling besar berbanding teknologi nuklear.

Seperti juga dakwaan Bapa Biologi Molekul, Pertubuhan Perubatan Amerika juga telah mengeluarkan laporan yang sama terhadap kemungkinan proses GM ini berupaya mengakibatkan kemusnahan alam sekitar. Antara kegusaran yang dilaporkan adalah kemungkinan tanaman yang melalui proses GM dan (kejuruteraan genetik) GE bagi melindungi daripada virus akan mengakibatkan virus tersebut bermutasi kepada suatu bentuk baru lebih berbahaya dan berupaya menyerang spesis tumbuhan dan hidupan lain.

Selain daripada kesan terhadap alam, kaedah GM ini akan berupaya mengubah alam semulajadi dengan menukar lumrah alam apabila binatang ternakan ditukar daripada kelompok herbivor kepada karnivor (Persatuan Sumber Asli United Kingdom:2005).

Menurut laporan tersebut, kebiasaannya pada musim sejuk, rumput adalah tidak subur. Oleh sebab itu, pada masa tersebut, binatang ternakan akan diberi makan kacang soya sebagai makanan gantian. Bagaimanapun, terdapat juga penternak menggunakan bangkai binatang ternakan sebagai ganti bagi mengurangkan kos dan mengakibatkan penularan penyakit lembu gila berpunca daripada tindakan penternak-penternak tersebut.

Ketidakpastian terhadap status makanan GM ini juga telah mengubah tujuan asalnya sebelum ini dengan tindakan sesetengah negara Afrika seperti Sudan dan Angola menolak bantuan makanan yang datang daripada Bantuan Makanan Amerika Syarikat (US Food Aid). Kerajaan Sudan misalnya pada tahun 2003, telah mengeluarkan memorandum berhubung bantuan makanan ini agar menjamin bantuan makanan yang dihulurkan kepada mereka adalah bebas daripada sebarang bentuk unsur GM.

Perkara apakah lagi yang tidak menakutkan selain mengetahui makanan yang kita ambil jika tidak semua, sedikit adalah terdiri daripada gen manusia seperti yang dilakukan oleh para saintis Jepun yang telah menghasilkan sejenis padi yang tahan dengan bahan kimia dengan menggunakan gen yang diambil daripada hati manusia dan tomato yang diubahsuai dengan gen ikan? Adakah tindakan yang diambil kerajaan Sudan ini ibarat tidak sedar dek untung?

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, “ Dan makanlah makanan yang halal lagi baik daripada apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya,” (Al-Maidah: 88). Daripada ayat ini, Allah s.w.t menyuruh kepada hamba-hamba-Nya memakan makanan yang halal dan baik serta meninggalkan yang haram dan yang tidak baik.

Islam mengajar penganutnya berbuat baik kepada alam dan senantiasa bertanggungjawab menjaga alam ini bertepatan dengan peranannya sebagai khalifah di bumi. Islam tidak pernah menyulitkan. Malahan, Islam menganjurkan proses GM ini bagi mencapai kemaslahatan sejagat. Di dalam hadis, Rasullullah s.a.w pernah menegah orang Arab yang sedang mengkacukkan pohon kurma dengan menyuruh mereka membiarkan pohon itu berbuah secara semulajadi. Walaubagaimanapun, pohon yang dibiarkan berbuah secara semulajadi itu tidak berhasil. Seraya itu, Rasullullah s.a.w berkata, “Kamu lebih mengetahui tentang urusan kamu.”

Syariah Islam tidak meletakkan batasan yang terlalu tegas di dalam hal ehwal duniawi yang terbukti bermanfaat kepada manusia jagat dan begitu juga sebaliknya. Merujuk kepada hadis tadi, Rasulullah s.a.w lebih menerima keadaan alam secara lumrahnya tanpa campurtangan manusia. Walaubagaimanapun, jika diperlukan sebarang perubahan dan campurtangan demi kemaslahatan manusia, baginda Rasulullah s.a.w memperkenankan tindakan tersebut.

Islam melihat segala tindak tanduk dan perilaku penganutnya adalah berdasarkan ketentuan yang telah ditetapkan Allah s.w.t. seperti yang dicatatkan di dalam al-Quran dan sunah. Semua Muslim adalah bersaudara dan segala apa yang terdapat di atas bumi dan alam ini adalah milik abadi-Nya.

Muhammad Uthman El-Muhammady menerusi tulisannya bertajuk “Perspektif Islam Terhadap Sempadan Bioteknologi” telah menggariskan beberapa yang mana antara perkara yang turut ditekankan ialah keperluan kepada pengguna bioteknologi secara bertanggungjawab sesuai dengan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi (laman sesawang rasmi JAIS).

Isu berkenaan makanan dan proses GM ini masih lagi baru dalam negara ini. Seperti juga negara-negara yang awal mengenalinya, Malaysia tidak terkecuali dalam membahaskannya dari pelbagai sudut. Sebagai sebuah negara yang majoritinya beragama Islam, dan sebagai negara yang memandang tinggi potensi makanan ‘halalan toyibah’, kerajaan perlu menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) intensif daripada pelbagai sudut tanpa mengenepikan sumber syariah Islam itu sendiri iaitu al-Quran, sunah, ijmak dan qias.

Thursday, November 13, 2008

Luas dan Dahsyatnya Neraka Allah..SUBHANALLAH

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada
Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah
mukanya, maka ditanya oleh nabi s.a.w.: "Mengapa aku melihat kau berubah
muka?" Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh
supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg
mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar,
dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman
dari padanya."

Lalu nabi s.a.w. bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam."
Jawabnya: "Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama
seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga
putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak
pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak,
andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk
dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka
itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi
kerana panas dan basinya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak,
andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Qur'an itu
diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke
tujuh.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat
tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana
sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan
minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api.
Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang
tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."

Nabi s.a.w. bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah
kami?" Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari
lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu
lebih panas dari yang lain 70 kali ganda." (nota kefahaman: iaitu yg lebih
bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah s.a.w.: "Siapakah penduduk masing-masing pintu?"
Jawab Jibrail: "Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan
orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s.
serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah. Pintu kedua tempat
orang-orang musyrikin bernama Jahim, Pintu ketiga tempat orang shobi'in
bernama Saqar. Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi
bernama Ladha, Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah. Pintu ke enam
tempat orang nasara bernama Sa'eir."

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya:
"Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?"
Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai
mati belum sempat bertaubat."

Maka nabi s.a.w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga
Jibrail meletakkan kepala nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar
kembali dan sesudah sedar nabi saw bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar
kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan
masuk ke dalam neraka?" Jawabnya: "Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari
ummatmu."
Kemudian nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s.a.w.
masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian
kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu
menangis dan minta kepada Allah.
(dipetik dari kitab "Peringatan Bagi Yg Lalai")

Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan
kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku.


Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:

1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat
2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah
3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung
4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik
6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak
7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum
8. Di bawah setiap pokok zarqum itu mempunyai 70 000 ekor ular
9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan
racun yang hitam pekat.
10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai
11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat

Mudah-mudahan dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua.
Wallahua'lam.

Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan
dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami terangkannya
kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan
dilaknat oleh sekalian makhluk.

Dari Abdullah bin 'Amr R.A,

Rasulullah S.A.W bersabda:" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat

Monday, November 10, 2008

Kekalkan Ni'mat Ini

Ku teliti setiap mesej yang diberikan oleh sahabiahku.. Dibelek, difahami, dihadam sebaiknya. Sehinggakan tanpa ku sedari, air mata membasahi pipi..

" Dalam kita melangkah mungkin merangkak ,terkadang di uji dengan ujian yang terasa berat hingga kita terduduk dan menangis, peritnya terasa.. tapi ketahuilah dan renungilah kembali ke dalam diri kerana mungkin air mata tika itu hadir kerana Dia mahu kita menjahit kembali sejadah iman yang kian terkoyak lantaran ada langkah-langkah yang tersasar dari keikhlasan. Semoga kita tabah dan ditetapkan iman"

" SAHABAT, berjanjilah bahawa dirimu akan berjuang di medan ini. Membawa kemanisan iman cinta dan jihad abadi, lalu mengukir sebuah da'wah untuk menghidupkan cinta Ilahi. Sahabat, berkorbanlah untuk Islam. Dunia cuma sementara. Sahabat, ku akan menolongmu menghadapi ranjau hidup dan insya-Allah kita sama-sama menjadi kekasih Allah"

" Ya Allah, selimuti istirehat saudaraku ini dengan kemuliaanMu. Hapuskan segala kesusahan dari hatinya. Bangunkan dia saat TahajudMu tiba. Rahmatilah dia kala waktu subuhMu datang menyapa"

" Bila hati berjuang kerana Allah, dugaan itu tempat bersinggah. Keperitan ditelan sebagai juadah. Kejayaan dianggap satu mimpi indah. Andai ditakdirkan rebah, HATI tetap redha kerana Allah. Tabahkan hatimu kerana kau srikandi yang paling berharga"

" Ya Allah, kami berbaiah untuk terus taat setia pada jalanMu ketika susah dan senang, suka dan duka, sihat dan sakit, muda dan tua, lapang ataupun dalam kesempitan. Kami tak ingin membantah perintahMu, ingin sentiasa bercakap benar, dan kami tidak takut pada celaan orang yang mencela, semua ini hanya keranaMu. Sahabat, moga di rezekikan untuk terus berjihad dan terus berkorban di jalanNya. Amal kerana Allah, yakin pada janjinya. Peliharalah sebaiknya 10 rukun bai'ah yang telah sama-sama kita ikrarkan. Sungguh teguh keyakinan ini bahawa Allah janjikan syurga di hujung jalan kita. Jangan pernah berputus asa atau gugur di jalan da'wah ini."

Ya Allah, anta Ya Rahman...
Kekalkan ni'mat berukhwah ini..Kekalkan langkah kami dalam menempuh danau dan ranjau perjuangan ini.. Agar rebah kami, rebah sebagai Syuhada' di jalanMu.. Jangan Kau gantikan tempat kami dengan insan lain, tetapi Kau jadikanlah bilangan kami bertambah.. Kerana Ya Allah, kami tak mampu untuk begerak sendirian, di dalam dunia yang penuh kacau-bilau ini..Syukran jazilan kepada semua yang terus kekal bersamaku, BarakaLlahu 'Alaik..

Friday, November 7, 2008

Maafkan Diri Ini

Rindu menyapa minda...
Mengimbau segala kenangan...
Suka dan duka yang pernah bertandang...
Di sepanjang kehidupan yang aku lalui...

Rindunya aku Ya Allah...
Kepada Teman-teman seperjuangan..
Kepada sahabat-sahabiah yang rela syahid bersama...
Kepada imbauan gelak tawa ummi dan abah...
Yang melemparkan senyuman penuh makna...
Kepada hilai dan gurauan saudara kandung tersayang...
Yang mendamba tunjuk dan nasihat...
Insan yang bernama Syuhada'...

Ya Allah...air mata ini sekali lagi menitis...
Mengimbau noda yang telah aku cipta...
Keterlanjuran langkah yang telah aku atur...
Tutur kata yang terkadang menghiris rasa...
Kejengkelan tingkah yang mengundang murkaMu...

Aku khuatir Ya Allah...
Kala saat aku tunduk sujud kepadaMu...
Di saat ku rasakan aku berbuat kebajikan terhadapMu..
Namun hakikatnya tiada apa pun nilai di sisi Mu....
Melainkan telah aku undang murka dan kemarahanMu...

Tuhan...
Sampaikan kepada semua...
Andai diri ini sukar untuk ditafsirkan...
Jika tingkah ini susah untuk difahamkan...
Sekiranya sayang ini sukar untuk diterjemahkan...
Hanya Engkau yang mengerti segalanya...
Syuhada' hanya ingin memberi...
Memberi yang terbaik untuk AGAMA...
Memberi yang terbaik untuk JEMAAH...
Memberi yang terbaik untk KELUARGA...
Memberi yang terbaik untuk SAHABAT- SAHABIAHNYA...
Juga mengimpikan yang terbaik buat dirinya...


Biar duka bermain di dalam diri...
Biarkanlah duka ini ku ubat sendiri...
Biarkan langkah ini ku atur dengan kekuatan...
Yang aku bina dari kelemahan yang lalu...
Yang masih diberi pembelaan oleh Tuhan...
Meskipun langkah ini tempang..
Namun jauh di sudut nurani...
Ingin ku berikan segala yang terbaik...
Dan yang sekadarnya mampuku berikan

Thursday, November 6, 2008

Ranjau Perjuangan

Kedinginan malam bersama rintikan hujan
Mengingatkan pada keagungan Tuhan
Kehidupan pejuang menempuh dugaan
Gelombang fitnah melanda berterusan

Betapa hati pilu derita sengsara
Ditohmah dikeji setiap masa
Merintih sayu mengharapkan redhaNya
Dalam menegakkan kebenaran nyata

Kedinginan malam bersama rintikan hujan
Mengingatkan pada keagungan Tuhan
Kehidupan pejuang menempuh dugaan
Gelombang fitnah melanda berterusan

Perjuangan suci membela agama
Dipandang sepi penuh curiga
Ditaburi fitnah yang datang melata
Jua rintangan yang menghalangnya

Tabahkanlah hatimu wahai pejuang
Ianya ujian dalam kehidupan
Merupakan pengajaran dari Tuhan
Dalam membina insan bertaqwa


Hakikat Yang Tak Bisa Ku Nafikan

Wahai Allah, hamba ini penuh cela, hamba juga penuh hina, hamba penuh rindu dan cinta, hamba penuh mahu dan perlu sentiasa, tapi hamba selalu silap dan lupa, selalu melakukan maksiat berbuat dosa, tapi hamba pegang sentiasa satu perkara, bahawa kasih sayang Mu sentiasa mendahului murka, biar hamba kembali berdosa , biar hamba tersedu dalam kesilapan yang dicipta, biar hamba kecewa dengan masa, atau putus asa dengan berita dari sengsara, atau mati rasa pada manusia, hamba tidak akan pernah lupa, bahawa hamba punya Yang Esa, juga dipunyai Dia, yang memelihara hamba sentiasa, walau dalam keadaan yang bagaimana – dipaksa sakit atau diberi suka, dengan cara yang rahsia.

Monday, November 3, 2008

Selamat Berjuang Buat Semua

BERUSAHA + DOA + TAWAKKAL +
IZIN ALLAH + IKHLAS DENGAN ILMU
= KEJAYAAN MILIKMU