Thursday, July 30, 2009

Surah Asy-Syura: Ayat 13

Firman Allah SWT:

Maksudnya:" Dia (Allah) telah MENSYARIATKAN KEPADAMU AGAMA yang
telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh, dan apa yang diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan apa yang telah diwasiatkan kepada Ibrahim, Isa dan Musa, iaitu TEGAKKANLAH AGAMA dengan KEIMANAN DAN KETAQWAAN dan JANGANLAH kamu BERPECAH-BELAH di dalamnya. Sesungguhnya, SANGAT BERAT bagi orang MUSYRIK untuk mengikuti agama yang kamu bawakan kepada mereka. ALLAH MEMILIH ORANG YANG DIA KEHENDAKI KEPADA AGAMA TAUHID dan MEMBERI PETUNJUK kepada AGAMA-Nya bagi ORANG YANG KEMBALI (kepada-Nya)


Wednesday, July 29, 2009

UMS dan FFM..WAJARKAH BERSATU??


JANGAN TENGOK DGN MATA ZAHIR SEMATA,

TAPI

TENGOK DENGAN MATA HATI!!


KATAKAN TAK MAHU,

TAK NAK,

TAK INGIN, TAK RELA


FFM DI UMS!!!!!!


Tuesday, July 28, 2009

Dialog Nabi Adam dan Iblis dengan Allah SWT

Renungkan lah olehMU wahai HAMBA ALLAH SWT.. Dan Kau akan sedari bahawa janji Allah adalah benar, tipu daya Syaitan juga benar, Syurga itu benar, seksa neraka itu juga benar, dunia sebagai persinggahan dan tipu daya itu benar, Akhirat yang bakal mendatangi kita juga benar.. Renung dan ambil iktibar..

Iblis berkata:” Ya Tuhanku, keluarkan aku kerana Adam. Aku tidak kuasa ke atasnya, kecuali dengan penguasaan-MU”

Allah berkata “ Engkau Aku kuasakan ke atasnya. Yakni atas anak cucunya”. Kerana Nabi selamat daripada Iblis

Iblis berkata: “ Berilah aku kuasa lagi”

Allah berkata: “ Setiap ia beranak, kau juga beranak”


Iblis memohon lagi: “ Berilah aku lagi”

Allah berkata: “ Jeratlah mereka dengan tipu daya. Temani mereka dengan harta dan anak. Sesatkan mereka dengan agama dan perbuatan yang batil. Perbuatlah sehendakmu”

Lalu Adam berkata: “ Ya Tuhanku, Engkau telah berikan kuasa kpd Iblis kepada anak cucuku, maka aku tidak boleh menghalanginya kecuali dengan pertolonganMu”

Allah berkata “ Setiap Umatmu akan dijaga oleh Malaikat”

Adam memohon lagi “ Tambahilah Aku”

Allah berkata “ Setiap kebaikan yang dilakukan diberi pahala 10 kali ganda”

Adam berkata lagi “ Tambahilah Aku”

Allah berkata “ Aku terima taubat mereka selama mereka masih hidup”


Adam berkata lagi “ Tambahilah Aku lagi Ya Allah”

Allah berkata lagi “ Aku ampuni mereka dan aku tidak mengira segala dosa yang dilakukan”

Adam berkata lagi “ Baiklah, aku telah berasa senang sekarang

Kemudian, Iblis berkata, “ Ya Tuhanku, Engkau jadikan utusan manusia dan Kau beri kitab. Maka siapakah utusanku dan apakah kitabku?”

Allah menjawab “ Utusanmu tukang tenung, tukang sihir, kitabmu adalah perangai buruk, hadismu bohong, Qur’an-mu Syair, tukang azanmu seruling, masjidmu pasar, rumahmu adalah tandas, makananmu sesuatu yang tidak disertakan dengan Nama-KU,minumanmu adalah yang memabukkan dan perangkapmu adalah PEREMPUAN

Surah Ibrahim: Ayat 22
§ Syaitan berkata ketika perkara hisab telah diselesaikan: " Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu, TETAPI aku MENYALAHINYA. TIDAK ada kekuasan bagiku terhadapmu, melainkan(sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu, jgnlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah DIRIMU SENDIRI. Aku TIDAK DAPAT MENOLONGMU dan AKU TIDAK DAPAT MENOLONGKU. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku dengan Allah sejak dahulu. " Sesungguhnya orang yang zalim akan mendapat siksaan yang pedih"

Monday, July 27, 2009

Kami Nak Ke Sana


Jabir R.A berkata: “ Telah berkata RasuluLlah SAW:


“Di syurga ada bilik yang tersusun dari permata timbus, bila berada di dalam boleh lihat di dalamnya, dari luar boleh lihat pula di dalamnya. Di sana ada kenikmatan, kelazatan dan kebahagiaan yang belum pernah terlihat oleh mata, terdengar oleh telinga atau terlintas dalam hati manusia”

Dia berkata: “ Aku bertanya: Wahai RasuluLlah, untuk siapa bilik itu?”

Baginda menjawab: “ Untuk yang membiasakan memberi salam, memberikan makan, sentiasa puasa dan solat malam sewaktu manusia sedang tidur.” Dia berkata: “Aku bertanya lagi: Wahai RasuluLlah, siapakah yang mampu berbuat demikian?” Baginda menjawab: “Ummatku mampu untuk itu. Dan akan aku cerikan tentang itu kepadamu. Sesiapa yang berjumpa dengan saudaranya dan memberi salam, bererti dia telah memuliakan salam. Sesiapa yang memberi makan anak dan keluarganya hingga kenyang, berertinya dia telah memberikan makanan. Sesiapa telah berpuasa di bulan Ramadhan dan puasa 3 hari setiap bulan bererti dia telah membiasakan puasa. Dan siapa telah solat Isya’ dan subuh secara berjamaah, sama seperti telah solat malam di saat orang Yahudi, Nasrani dan Majusi sedang tidur”


Namun, perlu di ingat, lakukannya dengan ikhlas. Dengan penuh rasa kehambaan. Dengan rasa gerun dan takut kepada azab neraka Allah. Dengan penuh rasa berharap kepada redha dan ampunan Allah serta berharap akan syurga Allah. Kerana ikhlas itu suatu yang sukar untuk dilaksanakan. Tetapi, kita seharusnya berusaha sebaik mungkin. Jangan sesekali dalam melaksanakan ketaatan itu, hadir suatu rasa riak pada amalan. Kerana dalam hati seorang mu’min, tidak akan berhimpun 2 sifat. Jika ada riak walaupun 10%, maka tidak akan hadirnya ikhlas itu dan begitulah sebaliknya.


Renungkan lagu ini: ( Jalanku Pulang: UNIC)


Tundukku malu di depanMu

Kernaku insan berdosa

Ku adukan sesalanku

Apakah kan Kau terima


Kesunyian ini sedarkan diriku yang lena

Tinggalkan semalam yang nana

Lantas ledakan ingatanku pada sempurnaMu

Terpaut aku tak berpaling


Ku bersyukur hanya pada-Mu Tuhan

Kau tunjukkan laluanku pulang

Dan cintaMu bagai air di tandus Sahara

Buatku melepaskan dahaga


Suluhkan cahaya menerangi langkahku

Sedarkan segala kiasan indah cintaMu


Ku bersyukur hanya pada-Mu Tuhan

Kau tunjukkan laluanku pulang

Dan cintaMu bagai air di tandus Sahara

Buatku melepaskan dahaga


Ku mohon Kau tenangkan gusar hatiku yang rawan

Bimbang kau singkirkan taubatku

Ku rayu kalu hulurkan keampunan kepadaku

Telah ku zalimi diriku


Janjiku padaMu abdikan seluruh jiwa

Sehingga masanya Kau seru hujung nyawaku


Ku bersyukur hanya pada-Mu Tuhan

Kau tunjukkan laluanku pulang

Dan cintaMu bagai air di tandus Sahara

Buatku melepaskan dahaga


Takku temu di manakah hentinya

Rayuan taubat ku padaMu

Bicara Hatiku

Hari ini, banyak perkara yang ana sempat pelajari. Belajar macam mana nak merangka sesuatu dengan strategik, belajar macam mana nak uruskan bisnes dengan baik, belajar macam mana nak dekati masyarakat (khususnya kaum ibu) , belajar bagaimana nak ururskan program kawasan, belajar bagaimana menentukan method da'wah yang pelbagai dan bersesuaian dengan sasaran, belajar bagaimana nak bertoleransi dengan sahabiah2 tatkala badan dilanda rasa penat, belajar, belajar dan belajar.

Namun, benarlah semakin banyak kita belajar, maka semakin kita sedar, bahawa terlalu banyak yang kita tidak tahu. Melayan rasa hati sekejap, cuma merungkaikan apa yang bermain di minda. Terasa sedih, menilai kembali. Sebenarnya terlalu kerdilnya diri, ceteknya ilmu dan pengalaman, kurangnya gerak kerja yang dilaksanakan.

Ya Allah, hamba terasa lemah. Kuatkan hamba

Petang tadi, Yuyu dan 2 orang lagi adik KRU datang rumah. Dah lama tak jumpa Yuyu, rindu rasanya.Bertanyakan hal gerak kerja, ana puji adik-adik ni, bagus dan kimotednya mereka. Sedikit rasa terkilan bila dia bagitahu ada program hujung minggu lepas, tapi ana tidak dengar khabar apa-apa. Masa mulanya, terfikir siapalah diri ini? Tapi konsep itu ternyata salah. Perjuangan ini tidak pernah menghamparkan kita karpet merah. Tiada istilah mahu terasa, terkilan dan selalu ingin diundang. Tapi sepatutnya, perlu peka dan bertanya jika ingin tahu dan ingin bergerak kerja. Ikat hati, langkah, jasad dan fikiran untuk perjuangan Islam baik waktu susah, senang, lapang, sibuk, sihat mahupun sakit.


Ya Allah, hamba bermohon. Istiqamahkanlah langkah dan hati ini untuk Islam. Berikan kekuatan, agar hamba tidak lemah. Sentuh hati hamba setiap masa, agar hati ini sentiasa lembut dan mata tidak pernah lokek untuk menangis kerana Allah. Tabahkanlah hati hamba atas segala ketentuan dan keputusanMu..

Ya Rabbi, hamba amat rindukan Allah. Rindu untuk syahid bersama-sama pejuangMu yang lain..Rezekikan kami syahid di jalanMu. Rezekikan untuk kami isi setiap detik kehidupan kami, dengan sesuatu yang ada maknanya untuk perjuangan Islam. Insya-Allah. AMEEN

Friday, July 17, 2009

Muhasabah Cinta

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Ku pasrahkan semua padaMu

Tuhan
Baruku sedar
Indah ni'mat sihat di hari itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di dalam do'aku
Sakitku rasa biar jadi menawar dosaku

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampunilah yang salah selama ini
Ya Ilahi
Moga sabar cintaku

Tuhan
Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Ketemukanku denganMu


Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di dalam do'aku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampunilah yang salah selama ini
Ya Ilahi
Moga sabar cintaku



Tuesday, July 14, 2009

ALHAMDULILLAH, YA ALLAH

TAKBIR!! ALLAHU AKBAR
TAKBIR!! ALLAHU AKBAR
TAKBIR!! ALLAHU AKBAR

Keputusan Pilihan Raya Kecil N14 Manek Urai

BN - 5283 UNDI
PAS- 5348 UNDI



Maka benarlah, perancangan Allah tetap yang terbaik. Jika mereka menggunakan tipu daya, maka mereka seharusnya sedar bahawa, tipu daya Allah lebih hebat. Kerana Allah sahaja yang memiliki segala kekuasaan.

Semoga segala yang berlaku, diambil sebagai ibrah (pengajaran) untuk kita semua, selaku hamba Allah. Mengapa majoritinya agak kecil? Tetapi Allah masih memberi kemenangan kepada golongan yang benar-benar berjuang demi ISLAM.

Pengajaran untuk kedua-dua pihak. Yang memikul amanah, laksanakan amanah sebaik mungkin. Bukan untuk kepentingan diri dan parti. TETAPI, untuk ISLAM semata-mata. Untuk ISLAM selamanya. JANGAN LEKA dengan kemenangan, penuhi kemenangan itu sebaik mungkin.


WaLlahua'lam

Monday, July 13, 2009

Oh Manek Urai

Baru je lepas kol ummi. Dah 3 hari tak kol. Ada plak crite baru dari ummi. Kes Manek Urai dan kampung sekitarnya. Dan Ummi pun bakal mengundi esok. Selamat mengundi.

Hangat sangat gerak kerja kat sana. BN dengan agendanya, PAS juga tidak ketinggalan. Semalam BN wat sambutan Hari Guru peringkat Negeri Kelantan kat sana. Pelik juga bunyinya. Tak semua cikgu pulak terlibat. Hemm. Biasalah, nak menangi hati rakyat lah katakan. Menteri yang tak pernah turun ke sana pun, tiba-tiba muncul. Sanggup bernyamuk, sanggup bersejuk, sanggup segala-galanya.

Tak kurang hebatnya dengan rakyat, ada yang dapat hadiah. Ada yang dapat imbuhan dan sebagainya. AlhamduliLlah, rezeki rakyat lah katakan. First time, jadi memang sepatutnya lah mereka dapat. Tapi lebih elok jika seluruh rakyat Malaysia dapat sumbangan dan bantuan yang sama. Betul tak??

Ada satu citer lagi, ramai ahli PAS kawasan sana dah bertukar warna, dari hijau kepada kurang hijau. Ada yang sebab kecik hati, ada yang sebab tak puas hati, ada yang sebab terasa hati. Semuanya kerana sakit hati. Maka, keputusannya, bawa hati jauh-jauh. Tak nak undi PAS, tapi sebenarnya hati masih sokong PAS.

Pengajaran untuk yang bergelar Manusia yang MUSLIM dan penyokong PAS:

1) Nak hidup senang kat dunia dan akhirat, maka pilih ISLAM sebagai cara hidup
2) Nak pilih pemimpin, maka pilih yang amalkan ISLAM sebetul-betulnya. Bukan yang tak tutup aurat, bukan yang merasuah rakyat, bukan yang turun padang bila ada hajat sahaja,bukan yang tidak adil kepada semua rakyat dan bukan yang merelakan maksiat dan dosa bermaharajalela dalam negara yang diperintah.
3) Pilih pemimpin kerana ISLAM. BUKAN kerana nama partinya, tetapi kerana matlamat dan perjuangan yand dibawa.
4) Pangkah bukan sebab nama parti, tapi sebab ISLAM
5) Kalau ada terasa hati dengan pimpinan dulu, maka suarakan untuk dibaiki, bukan terus bawa hati. Kita perlu banyak bekorban demi ISLAM. Korban harta, perasaan, kepentingan. SEMUANYA DEMI ISLAM.
6) Ketepikan kepentingan duniawi demi kejayaan ukhrawi.
7) Jangan biarkan sejarah lama berulang kembali. Jangan biarkan ISLAM dianak tiri. Jangan biarkan nafsu merajai di hati. Berkorban untuk ISLAM, pasti ada ganjaran yang menanti, tidak didunia, pasti di akhirat ditunaikan janji. Allah pasti pegang pada janjiNya.

Ayuh, yang dah berubah warna, kita tambah cat hijau itu kembali, bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk kepentingan AGAMA ISLAM yang dicintai. Buat pilihan terbaik untuk ISLAM, bukan untuk kepentingan DIRI atau individu yang hanya pandai menabur janji.

MANEK URAI, Insya-Allah milik hamba Allah yang berjuang untuk kepentingan ISLAM semata. TAKBIR!! TAKBIR!!TAKBIR!!

Ya Allah, Menangkan kami ke atas mereka. Ameen

Puteriku Sayang

Lembutmu tak bererti kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan, bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Di sebalik bersih wajahmu
Disebalik tabir dirimu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itu lah sekeping hati yang takut pada Ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri

Malumu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tetapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri

Ketegasanmu umpama benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan dari dibinasakannya
Wahai puteriku sayang
Kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya


AlhamduliLlah, masih diberi peluang oleh Allah untuk terus bernafas dan merasai ni'mat kehidupan yang masih lagi berbaki dan semestinya tidak pernah dilupakan bahawa ni'mat ini juga bakal berakhir. AlhamduliLah, masih juga diberi peluang oleh Allah untuk mencoretkan sesuatu buat renungan diri dan sahabat sahabiah sekalian.

Berkesempatan mendengar lagu Puteriku Sayang, maka terdetik untuk menulis suatu pengajaran daripada liriknya. Bila diperhalusi dan diperhatikan lirik lagu ini, ada beberapa perasaan yang dapat dirasa:

1) Diri sebagai seorang wanita yang sebenarnya seorang puteri. Bagaimana istimewanya seorang puteri di istana, begitu jualah yang dirasakan. NAMUN puteri ini adalah puteri yang sebenarnya berbeza daripada puteri raja. Kerana puteri ini adalah :

a) Seorang puteri dalam sebuah rumahtangga yang dibina hasil penyatuan 2 insan yang bukan dari kerabat diraja, tetapi yang pastinya dari kalangan hamba Allah yang beriman. Insya-Allah

b) Puteri ini adalah puteri yang rela ditarbiyyah dengan tarbiyyah Islam demi perjuangan Islam.

c) Puteri ini bukan sahaja puteri sebuah keluarga, malah puteri yang bersinar bak permata dalam perjuangan Islam.

d) Puteri ini tidak meiliki bodyguard khas dari istana, tetapi merasakan bahawa ada pengawal dan Tuan yang jauh lebih baik dan hebat, iaitu Allah Ta'ala dan 2 malaikat yang setiap saat memerhatikannya dan memantaunya

e) Puteri ini rela berjauhan dengan ayahanda dan bondanya demi amanah sebagai puteri dan sebagai hamba Allah.

2) Merasakan bahawa diri ini amat berharga, meskipun kelembutan menghiasi diri, jubah dan tudung labuh melitupi tubuh badan, dan rasa malu dan kehambaan yang tinggi semata-mata kerana Allah.

3) Kita bukan insan yang lemah, malah mampu seiringan dengan lelaki dalam menabur bakti dan dalam perjuangan. Keistimewaan pada diri puteri disulami dengan kehebatan dan ketangkasan pada seorang lelaki menjadikan perjuangan itu lebih tersusun, sistematik dan membuahkan hasil yang lebih baik. Setiap yang ada, pasti memiliki keistimewaan dan saling melengkapi demi menggerakkan gerak kerja Islam.

MAKA, sedar dan hargai nilai sahabiah sekalian yang bergelar puteri. Kita ada potensi, dan gunakan ia sebaik mungkin. Lembut tidak bererti lembik, malu kita membawa kita kepada seorang yang lebih tegas, maruah kita menjadikan kita lebih berharga.

WaLlahua'alam.

Wednesday, July 8, 2009

Mengapa Kita Begini???

Mengapa ramai antara kita yang sanggup beralasan untuk melaksanakan keta'atan kepada Allah?? Mengapa tidak pula kita mengeluh tatkala pancaindera dan anggota badan melaksanakan kemaksiatan?? Menagapa kita tidak mengeluh malah rasa bersalah pun bila melakukan maksiat?? Dan mengapa kita akan mengeluh dan beralasan bila ingin berubah dan menginsafi kesilapan?? Mengapa kita begini??

Ada yang sanggup mempergadaikan ibadah kerana maksiat dan runtunan nafsu.. Membiarkan yang diperintah terabai, dan yang dilarang bermaharajalela di jiwa dan minda?? Mengapa kita begini??

Renungan dan teguran terutamanya buat dirir sendiri dan semua sahabat sahabiah serta seluruh manusia yang mengaku dan membenarkan bahawa Allah Tuhan yang disembah, Islam agama dianuti dan Nabi Muhammad Penghulu segala Nabi dan Rasul

WaLlahua'lam

Tuesday, July 7, 2009

Ulangtahun Kelahiranku

AlhamduliLlah, hari ini, 7 Julai 2009 genaplah umurku 22 tahun mengikut perkiraan kalendar shamsiah..Tapi sebenarnya kalau mengikut perkiraan kalendar Qamariah, umurku hampir mencecah 23 tahun. Maknanya, hayatku semakin dan semakin menghampiri penamatnya. Allahu Akbar!!

Tidak dinafikan, benar kita akan tersenyum apabila mendengar ucapan dan doa serta harapan sahabat-sahabat, ahli keluarga dan kenalan lain. Namun perkara yang sepatutnya tidak dilupakan adalah muhasabah diri. Sebanyak mana kah bekal yang bakal dibawa, seluas manakah ilmu yang dituntut dan yang disampaikan, sebanyak manakah peluh dan keringat yang telah diinfakkan kepada perjuangn Islam dan banyak lagi persoalan yang perlu dijawab oleh diri.

Semoga ampunan dan redha Allah sentiasa mengiringi perjalanan dan perjuangan. Semoga peningkatan umur bakal meningkatkan amal, kematangan, akhlak dan roh perjuangan. Semoga kita semua berjaya di dunia dan akhirat. Ameen

WaLlahu'alam..

TabarakaLlahu 'alaina..

Sunday, July 5, 2009

Selamat Menempuh Semester Baru

Dah masuk tahun keempat rupanya berada di bumi Sabah. Sekejap je masa berlalu, umur juga semestinya semakin meningkat, dan yang paling penting untuk tidak sesekali di lupakan adalah, hayat kehidupan ini pula semakin berkurangan, semakin menghampiri hari pengakhirannya. Namun segunung harapan dan do'a dipanjatkan agar dengan peningkatan umur ini, lebih mematangkan fikiran, akhlak, roh perjuangan sekaligus membawa kita semua kepada langkah yang lebih gagah dan teguh untuk terus istiqamah dan bersiap sedia untuk berkhidmat demi mendaulahkan Islam di bumi Malaysia.

Pesanan buat diri dan semua sahabat seperjuangan, jangan terlalu leka dengan alasan menyelesaikan tugasan-tugasan tanpa meluangkan walaupun sedikit masa untuk gerak kerja Islam. Benar, bagi yang berada di tahun akhir, kita mungkin sibuk dengan projek tahun akhir, yang berada di tahun kedua dan ketiga juga ada tugasan dan kerja lapangan yang perlu dilaksanakan, namun, ana yakin, kita yang telah ditarbiyyah pasti rindu "bangat" untuk bergerak kerja. Jadi, gunakan masa dengan sebaiknya, agar kepenatan yang dirasai semasa mengahadap laptop demi menyiapkan assignment itu bakal terubat, apabila mendapat berita baik daripada adik-adik yang kita bentuk dalam program. Dan alangkah bersyukurnya bila mendapat tahu, adik dalam kumpulan yang kita kendalikan telah mula menunaikan solat 5 waktu sehari semalam dan tidak pula kurang, malah diperindahkan lagi dengan solat-solat sunat. Allahu Akbar, besarnya anugerahMu.

Selamat menghadapi hari esok dan hari-hari mendatang dengan azam dan tekad yang jauh lebih baik dari waktu-waktu yang lepas. Selamat berpenat lelah dengan menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu. Selamat belajar dari pengalaman, kerana ia pasti mematangkan kita.

Sedikit coretan untuk perkongsian. Semalam, ana dipilih oleh Allah untuk memberikan sedikit peengisian di SMK Tamparuli, berkaitan dengan akhlak. Beberapa hari yang lepas, AJK Pengisian Muslimat ada mesej ana, dia minta ana bagi pengisian. Pantas ana "reply" mesej K. Rohana, " Maaf kak, syuhada' rasa tak layak untuk itu ". Maka, ana cuba cari mana-mana sahabat yang boleh, tapi tak jumpa. Kebetulan ada seorang sahabat yang boleh "backup" untuk ambil slot tu pula, dipanggil oleh Allah untuk melaksanakan komitmen lain. Jadi, K.Rohana mesej ana sekali lagi, " Syuhada', boleh ke kalau syuhada' ambil slot ni?" Setelah dijelaskan, ana bagitahu K. Rohana, insya-Allah, ana cuba.

Petang Jumaat, dalam pukul 6.59 petang dapat 1 mesej dari K.rohana. " Syuhada dah prepare ke untuk slot esok? Boleh ke akak minta syuhada datang malam ni, ustaz untuk slot malam ni tak dapat datang." TERKEJUT sangat. " Insya-Allah, Syuhada' cuba. Dalam perjalanan, baru je bertolak, motor buat hal. Jadi, ambil keputusan masuk kampus, cari kereta sewa. Malangnya, tak dapat. Ana pun duduk termenung kat luar masjid, tak perasan, menangis pula. Rasa kesian kat AJK Pelaksana program. 1 perasaan menyapa minda dan hati, husnuzzhon pada Allah atas semua yang berlaku. Kemungkinan, jika ana pergi juga malam itu, ana tak dapat buat dengan baik. Maka Allah bagi peluang untuk lebih membuat persiapan. AlhamduliLlah

Tepat petang Sabtu, jam 1.35 petang, mula lah slot Kau dan Aku. Ana dipanggil ke hadapan oleh adik pengerusi majlis. Sebelum mula slot itu, ana mohon agar Allah izinkan ana buat yang terbaik dan dapat sentuh hati dan jiwa-jiwa adik berkaitan akhlak, terutamanya akhlak kepada Allah dan ibu bapa. Namun, ana merasakan, ana gagal untuk buat yang terbaik. Kalau nak diberikan markah, cuma 10% je yang dapat. Habis je slot tu, ana bagitahu K.Rohana, ana minta maaf, ana tak dapat buat yang terbaik. Dan ana rasa tak nak bagi pengisian lagi untuk lain kali.

Sedikit ruang masa di luangkan untuk muhasabah apa yang berlaku dan yang dah diungkapkan. Ana bermonolog dalam diri. " Ini adalah proses belajar, belajar dari kesilapan dan pengalaman. Seandainya aku begini, siapa nanti nak sampaikan ilmu pada adik-adik? Sedangkan aku kata, aku sayang aqidah mereka. Aku sayangkan iman mereka. Kenapa aku terus berputus asa? Sepatutnya aku perlu menambahbaik segala yang kurang. Anak yang bertatih, pasti kadang-kadang jatuh, kerana tak dapat imbangkan badan. Tapi, dia terus berusaha. Melihatkan ramai kanak-kanak sebayanya sudah mula mampu berjalan 10, 20 langkah dan terus melangkah. Maka, semestinya kanak-kanak tadi ingin berjalan sebagaimana kawan-kawannya. Begitu juga dengan diriku, kekurangan perlu diperbaiki, kelemahan perlu ditampung, demi melahirkan jiwa-jiwa mad'u yang faham dan kenal Islam yang sebenar.

Apa yang ingin disampaikan, semester baru ini, janjikan suatu perubahan yang jauh lebih baik daripada yang lepas, agar kita bukan sahaja mampu mencapai 4.0 dalam peperiksaan, tetapi dapat melahirkan adik-adik yang faham 100% tentang Islam. Insya-Allah. TAKBIR!!!


Friday, July 3, 2009

Mohon Ampun, Tutup Ke'aiban Dosa Daripada Terdedah

Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain darpada Allah?”
( Surah Ali Imran: Ayat 135 )

RasuluLlah S.A.W amat gemar beristighfar dengan : “ Subhanaka Allahumma wa bihamdika Allahumma Ighfirli. Innaka Antat- Tauwwabur Rahim. Yang bermaksud: “ Maha Suci Engkau (dari sifat kekurangan), Ya Allah Tuhanku, dan aku memuji Engkau wahai Tuahnku ampunilah (segala dosa)ku. Sesungguhnya Kau Maha penerima Taubat lagi Maha Penyayang”

Istighfar bererti minta ampun kepada Allah SWT dan juga bererti minta ditudung (ditutup) segala kesilapan dan kesalahan. Minta dilindung supaya ketika dibangunkan dari kubur di Mahsyar kelak, segala keaiban tidak terdedah kepada umum.

Dalam ayat 35 Surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik di kalangan orang beriman yang ‘ashi( melakukan maksiat @ derhaka), apabila melakukan perkara keji atau menganiaya dan mendedahkan diri kepada bahaya api neraka. Lalu ingat dan memohon ampun (istighfar) kepada Allah SWT minta ditudung dosanya. Berasa sesal kepad Tuhan kerana derhaka kepadaNYa, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT.

Menderhaka dengan Allah kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan lidah kerana mengumpat serta berkata sesuati yang haram. Derhaka dengan mulut kerana memakan rezeki yang haram. Sesungguhnya semua anggota tubuh badan adalah kurniaan Tuhan, yang sepatutnya digunakan taat dn berbakti kepadaNya semata dan bukanlah sebaliknya.

Firman Allah yang bermaksud: “ Dan barangsiapa yang menegrjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” ( Surah An-Nisa’: Ayat 110)

Dalam ayat tersebut, Allah menjelaskan bahawa orang yang telah melakukan kejahatan atau menzalimi diri, kemudian ingat kepada Allah SWT dan beristighfar akan mendapati bahawa Allah SWT itu satu Zat yang SANGAT SUKA MENGAMPUNKAN DOSA serta AMAT KASIHAN BELAS KEPADA MANUSIA.

Jika kita tergolong dalam golongan yang derhaka kepada Allah, dan menyedari bahawa kita pernah tersilap langkah, maka kita seharusnya pulang kepada Allah dengan kadar segera dan yakin bahawa hanya pada Allah tempat kita mohon ampun dan mohon bantuan agar kesilapan itu diampunkan dan ditudung oleh Allah, tetapi mestilah dengan syarat KITA MENYESALI DAN TAUBAT BERMULA DARI HATI YANG INSAF dengan SEPENUH AZAM untuk meninggalkan dosa itu.

Insya-Allah, Tuhan akan menerima taubat dan ditudungnya dosa kita dan diberi keupayaan menentangnya ketika hati teringin melakukannya. Timbulnya rasa takut dan gerun, akhirnya akan menjadikan kita manusia yang patuh dan taat kepada Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: “ Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun” ( Surah An-Nasr: Ayat 3 )

Segala kerja bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati. Jika bertasbih dan beristighfar terbit daripada sanubari yang insaf, hasil daripada sikap tersebut dalam jangka masa yang tidak lama, maka akan terbit rasa malu kepada diri untuk mengingkari istighfar yang telah diucapkan.

Demikianlah sedikit perkongsian ilmu buat diri dan sahabat sekalian. Semoga ia direzekikan oleh Allah untuk menjadi asbab kepada perubahan diri kita semua. Semoga kembalinya kita nanti bersama golongan orang yang beruntung dan mohon dijauhkan daripada tergolong dalam golongan hambaNya yang rugi. Ameen

Firman Allah:
Maksudnya: “ Sesungguhnya inilah jalanku yang lurus, makka turutlah jalan itu (ISLAM). Dan janganlah kamu turuti jalan-jalan yang lain, kerana nanti kamu kan terpisah dari jalan Allah. Itulah yang diperintahkan Tuhan kepada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-An’am: Ayat 153)

WaLlahu a’lam