Monday, July 13, 2009

Puteriku Sayang

Lembutmu tak bererti kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan, bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Di sebalik bersih wajahmu
Disebalik tabir dirimu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itu lah sekeping hati yang takut pada Ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri

Malumu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tetapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri

Ketegasanmu umpama benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan dari dibinasakannya
Wahai puteriku sayang
Kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya


AlhamduliLlah, masih diberi peluang oleh Allah untuk terus bernafas dan merasai ni'mat kehidupan yang masih lagi berbaki dan semestinya tidak pernah dilupakan bahawa ni'mat ini juga bakal berakhir. AlhamduliLah, masih juga diberi peluang oleh Allah untuk mencoretkan sesuatu buat renungan diri dan sahabat sahabiah sekalian.

Berkesempatan mendengar lagu Puteriku Sayang, maka terdetik untuk menulis suatu pengajaran daripada liriknya. Bila diperhalusi dan diperhatikan lirik lagu ini, ada beberapa perasaan yang dapat dirasa:

1) Diri sebagai seorang wanita yang sebenarnya seorang puteri. Bagaimana istimewanya seorang puteri di istana, begitu jualah yang dirasakan. NAMUN puteri ini adalah puteri yang sebenarnya berbeza daripada puteri raja. Kerana puteri ini adalah :

a) Seorang puteri dalam sebuah rumahtangga yang dibina hasil penyatuan 2 insan yang bukan dari kerabat diraja, tetapi yang pastinya dari kalangan hamba Allah yang beriman. Insya-Allah

b) Puteri ini adalah puteri yang rela ditarbiyyah dengan tarbiyyah Islam demi perjuangan Islam.

c) Puteri ini bukan sahaja puteri sebuah keluarga, malah puteri yang bersinar bak permata dalam perjuangan Islam.

d) Puteri ini tidak meiliki bodyguard khas dari istana, tetapi merasakan bahawa ada pengawal dan Tuan yang jauh lebih baik dan hebat, iaitu Allah Ta'ala dan 2 malaikat yang setiap saat memerhatikannya dan memantaunya

e) Puteri ini rela berjauhan dengan ayahanda dan bondanya demi amanah sebagai puteri dan sebagai hamba Allah.

2) Merasakan bahawa diri ini amat berharga, meskipun kelembutan menghiasi diri, jubah dan tudung labuh melitupi tubuh badan, dan rasa malu dan kehambaan yang tinggi semata-mata kerana Allah.

3) Kita bukan insan yang lemah, malah mampu seiringan dengan lelaki dalam menabur bakti dan dalam perjuangan. Keistimewaan pada diri puteri disulami dengan kehebatan dan ketangkasan pada seorang lelaki menjadikan perjuangan itu lebih tersusun, sistematik dan membuahkan hasil yang lebih baik. Setiap yang ada, pasti memiliki keistimewaan dan saling melengkapi demi menggerakkan gerak kerja Islam.

MAKA, sedar dan hargai nilai sahabiah sekalian yang bergelar puteri. Kita ada potensi, dan gunakan ia sebaik mungkin. Lembut tidak bererti lembik, malu kita membawa kita kepada seorang yang lebih tegas, maruah kita menjadikan kita lebih berharga.

WaLlahua'alam.

No comments: