Saturday, February 27, 2010

Aura Maulidur Rasul

Salam Rabiu'l Awal 1431H buat semua. AlhamduliLlah,Aura Maulidur Rasul diizinkan dipaparkan untuk renungan semua. Kemungkinan agak terlewat dengan tarikh 12 Rabi'ul Awal, namun tidak sesekali terlewat untuk bercerita tentang Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Lahirnya Nabi Muhammad , Mengenalkan kita akan lahirnya syariat Allah
Wafatnya Baginda , Menandakan telah sempurnanya Syariat dan Agama Allah

Menyinggah di minda, terngiang di telinga, berlegar di benak fikiran kuliah Maghrib yang disampaikan Oleh Ustaz Farid Ravi di Masjid Bandaraya pada malam menjelangnya 12 Rabi'ul Awal. Betapa besarnya amanah yang dipikul Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan Risalah Allah. Bermula dengan mengajak manusia agar meninggalkan menyembah Tuhan selain daripada Allah, Nabi mengajar kita Al-Quran, Nabi juga mengajar kita akan kebijaksanaan. Nabi juga turut serta dalam peperangan. Hati Nabi sedih bila dilontar dengan batu dan najis. Hati Nabi sayu dengan fitnah dan cercaan. Tetapi Nabi tidak pernah putus asa untuk MENDIDIK manusia. Nabi tidak pernah mengeluh, meskipun perut Nabi tidak diisi berhari-hari. Nabi tidak tidak pernah mengutamakan dirinya,demi maruah ISLAM yang dibawa. Malah Nabi amat menyintai dan risaukan kita, UMMAT BAGINDA. Hingga ke akhir nyawa Nabi, hanya yang terukir di bibir Nabi, UMMATI,UMMATI,UMMATI.

Sahabat sahabiah, adik-adik dan seluruh yang mendokong kerja Da'wah yang ditinggalkan Nabi Muhammad kepada kita, jadikanlah Sejarah Nabi sebagai pembakar semangat. Semangat yang terbina atas dasar faham bukan perasaan semata-mata. Belajar untuk mengenali perjuangan dan keperitan Nabi Muhammad dan Nabi-Nabi sebelumnya. Kerana kita adalah mata rantai perjuangan itu. Meskipun bukan pemula ataupun pengakhir, namun kita punyai tanggungjawab meneruskan kesinambungannya.

Semoga Allah merahmati Baginda, Sahabat, Ahli keluarga Baginda, Para Syuhada'. Mohonkan pada Allah agar rahmatNya juga bersama mengiringi setiap ayunan langkah perjuangan kita.

Belajar untuk menyampaikan mesej ISLAM kepada manusia. Jika kita hanya pandai bekerja sahaja, maka perlu melangkah selangkah ke hadapan, latih diri untuk menyampaikan dari lisan dan penulisan. ISLAM ADALAH PRODUK YANG TERBAIK, MAKA ISLAM ITU PERLU DISAMPAIKAN OLEH PENJUAL YANG JUGA TERBAIK. Belajarlah, Aplikasilah, Sampaikanlah. Semoga ia lahir dari hati, dan akan sampai kepada hati.

WaLlahu a'lam


No comments: