Wednesday, October 1, 2008

1 Syawal Untuk Semua

AlhamduliLlah, syukur di panjatkan kehadrat Allah Yang Maha Kaya, masih lagi diri ini berkesempatan menghirup udara segar milikNya. ALLAHU AKBAR .

Seperti hari-hari biasa, aku terjaga dari tidur, melihat jam di telefon bimbit menunjukkan jam 3.45pagi. Sudah 1 Syawal rupanya hari ini. Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Pejam celik-pejam celik, baru beberapa jam Ramadhan melabuhkan tirainya. Sedih rasanya. Masihkah berkesempatan aku bertemu Ramadhan untuk kali seterusnya. Insya-Allah.

Ku langkahkan kaki, nak bersihkan badan untuk bertemuNya. Dikala dahi ini mencecah sejadah, air mataku mengalir laju, sayu memikirkan kealpaan diri. Aku tidak pasti, bagaimanakah nilainya amalanku sepanjang Ramadhan itu di sisiNya. Namun yang hanya aku harapkan redhaNya sentiasa mengiringi setiap langkah hidupku.


Solat subuh ku yang dihiasi dengan alunan takbir sekali lagi mengembalikan kenangan beraya di rumah, seperti kebiasaannya, selepas solat subuh berjamaah, abah akan alunkan takbir. Membuka hari baru, hari kemenangan seluruh umat Islam. ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR. LA ILAHA ILLALLAHU WALLAHU AKBAR. ALLAHUAKBAR WALILLAHILHAMD.

Solat sunat Aidilfitri aku kali ini bersama-sama sahabat-sahabat yang lain. Besertakan alunan takbir, aku lihat seorang sahabatku mengalirkan air mata. Mungkin dia teringatkan keluarganya. Biasalah, inilah kali pertama dia beraya di perantauan.

Seusai solat sunat dan bermaafan, kami menuju ke Dewan Serbaguna Kolej CD. Ada jamuan raya untuk warga kampus. Ramai juga yang tak balik rupanya. Penuh dewan. Yang duduk kat luar dewan pun ada. Selesai je ucapan perasmian, mulalah adegan beratur tunggu giliran ambil makanan. Ish.. Macam mana nak menyelit ni. Dah tak macam barisan ni..Dah jadi satu lingkungan besar. Aku berundur. Bagi peluang kat rakan-rakan yang lain.

Tekak dah kering sangat. Ku intai-intai bekas air, malangnya air dah habis. Allahu Akbar. Tunggu lah kejap. Malangnya makanan pun habis. Bukan rezeki kami lah nampaknya. Kami pun ambik keputusan untuk berundur diri. Ada urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Pengajaran: Bagi kami, tidak pula rasa terkilan kerana tidak berkesempatan menjamah pun walau sedikit juadah yang disediakan. Memadailah melihat sahabat-sahabat yang lain menjamu selera. Sudah terasa bersyukur sangat kepada Allah, kerana yang pastinya, hari raya ini adalah untuk semua, bukan untuk kami sahaja.

Wassalam

No comments: