Saturday, October 11, 2008

Aku Telah Bersungguh-sungguh Dalam Do'aku..Tetapi....

Usah kau khuatir, andai do'a yang kau panjatkan pada Allah dengan bersungguh-sungguh dan penuh pengahayatan tidak dimakbulkanNya seandainya hidupmu dikelilingi oleh segala yang haram. Seandainya makanmu, minummu, pakaianmu, perbuatanmu dan darah yang mengalir dalam tubuhnya adalah dari segala yang haram, bagaimanalah kiranya kau nak mohon keberkatanNya? Bersama kita koreksi diri.

Segala perbuatan haram bakal menghalangi do'a.

Pada suatu masa, Nabi Musa 'alayhissalam melihat seorang lelaki mengangkat dua tangannya kerana berdo'a kepada Allah dengan cara yang bersungguh-sungguh. Kemudian itu Nabi Musa sendiri mengadu nasib orang itu kepada Allaj, dengan ujarnya "Hai Tuhan! Hamba Engkau ini memohon kepada Engkau agar Engkau Kasihi akan dia, kerana Engkau Tuhan Yang Amat Mengasihani dari segala yang kasih, maka apakah yang Engkau lakukan pada hajatnya?"

Allah memberi jawapan kepada baginda " Hai Musa! Kalu dia mengangkat kedua tangannya sehingga putus sekalipun Aku tidak mahu memenuhi hajatnya, sehingga dia sendiri memenuhi hak Aku"

Ketika Ibrahim Bin Adham(seorang ahli tasawwuf yang masyhur) berada di tengah-tengah pasar Basrah,beliau dikerumuni oleh orang ramai. Di antara mereka ada yang bertanya:Mengapakah do'a mereka tidak dikabulkan Allah padahal mereka selalu berdo'a kepadaNya? Beliau menjawab: Kerana hati kamu buta disebabkan 10 perkara, iaitu:

1) Kamu mengatakan kamu kenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan haq-Nya.
2) Kamu sangka bahawa kamu cinta kepada RasuluLlah, tetapi kamu tinggalkan sunnah baginda.
3) Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
4) Kamu telah menikmati ni'mat-ni'matNya, tetapi kamu tidak mensyukuri ni'mat itu.
5) Kamu mengatakan bahawa syaitan itu musuhmu, tetapi kamu tidak menentangnya.
6) Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
7) Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak cuba untuk lari daripadanya.
8) Kamu telahpun berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya.
9) Kamu bangun dari tidur, lalu kamu ceritakan segala ke'aiban manusia lain, tetapi kamu lupa akan ke'aiban sendiri.
10)Kamu telah bersama-sama mengiringi dan mengebumikan jenazah di perkuburan, tetapi kamu tidak mengambil iktibar(pengajaran) daripada mereka.

Wahai manusia yang mengaku bahawa Allah adalah Tuhannya, dan Nabi Muhammad serta nabi-nabi sebelum baginda adalah utusan Allah serta kamu membenarkan risalah Islam yang dibawa, ayuh fikir sedalam-dalamnya adakah kita telah tunaikan haq-Nya? Adakah sudah cukup sekadar melafazkan bahawa Muhammad itu adalah RasuluLlah tanpa kau iringi dengan mengamalkan sunnah baginda?

Memang benar, Allah Maha Mengkabulkan do'a dan Allah Maha Memberi, Maha Kaya, Maha Pemurah dan Maha Pengampun. Jika Allah ingin berikan apa yang kita hajati, Dia berhak dan terlalu mampu untuk berbuat demikian kerana semuanya adalah milik-Nya termasuklah diri kita yang meminta. Namun sahabatku, Allah jua punyai haq-Nya untuk kita tunaikan. Sebagai hamba yang hanya bergantung pada-Nya, kita seharusnya sedar, kita cuma menumpang di dunia ini dan pastinya akan kembali kepadaNya suatu hari kelak.

Seandainya hidup kita sebelum ini dikelilingi maksiat, sedarlah bahawa kita cuma hamba yang mulia kerana izin-Nya, jua tidak mustahil bahawa kita bakal hidup terhina dengan izin-Nya. Segala ni'mat yang Dia berikan, tidaklah diminta walau sedikit bayaran. Betapa pemurahnya Allah. Tetapi pernahkah kita syukuri ni'mat-ni'mat ini?

Mohon kita semua bermuhasabah bersama-sama. Semoga, detik waktu yang kita lalui di saat ini hinggalah ke akhir hayat nanti bakal membuahkan suatu yang terbaik buat kita sebagai bekalan kita menuju alam akhirat sana. Ameen.

No comments: