Thursday, October 9, 2008

Siapa Diri Ini?

Terdetik dalam hati ini untuk berkongsi kisah pengembaraan hidupku bersama sahabat sahabiah seperjuangan sekalian. Ana adalah perantau di bumi Sabah ini. Terasa janggal dan asing pada mulanya tiba di sini. Loghat pertuturan yang begitu berbeza dengan kebiasaannya di semenanjung, membawa tafsiran pertama dalam mindaku, ana tak biasa dan tak tahu dapat atau tidak membiasakan diri di sini. Namun, pepatah masuk kandang harimau mengaum, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak, menimbulkan sedikit keyakinan pada diri meskipun ana belum pasti akan apa yang akan berlaku suatu hari nanti.

Lorong perantauan ini ana susuri bersama imbauan kisah yang silam.

Kesempatan yang Allah berikan kepada ana untuk belajar di sekolah agama sedikit-sebanyak mengenalkan ana kepada gerak kerja Islam. Meskipun tidakkah ilmu ini setinggi orang lain, namun ana sudah mula menanam minat untuk terus bergerak kerja. Peluang berada dalam kumpulan nasyid sekolah, ana gunakan sebagai medium da'wah ana kepada anak muda dan sahabat-sahabat seperjuangan pada ketika itu. Namun, semuanya tidak kekal kerana kita bukan selamanya di sana, pasti akan ada pengganti. Di pentas nasyid ini, mungkin tidak sesuai untuk kami yng bergelar muslimah. Ana beralih dari pentas nasyid, ke pentas pantun dan puisi. Ana cuba deklamasikan puisi beunsur Islam sebagai kata-kata puitis yang mengingatkan insan kepada Tuhannya. Namun ia juga sementara apabila ada seorang sahabat menegur ana, untuk tidak meneruskan cara ini kerana padanya, suara tetap dikatakan aurat . Pada mulanya ana tidak dapat menerima teguran itu, tetapi jika difikirkan kembali, lenggang-lenggok suara yang ana mainkan semasa membaca puisi dan pantun itu rasanya tidak bersesuaian sebagai seorang muslimah.


Semasa matrikulasi, ana berkenalan dengan seorang muslimah dan namanya Siti Farhiah, akhirnya dia menjadi sahabat baik ana. Ana cukup tertarik dengan sifatnya yang lemah-lembut, rajin dan istiqamah. Terasa malu pun ada apabila ana melihatkan dia begitu istiqamah dengan solat berjamaah di masjid. Gerak kerja Islam yang dilakukannya cukup menambat hati ana. Ana cuba tanyakan padanya, bagaimana sekiranya ana ingin bersama-samanya dalam gerak kerja? Tapi soalan ana dibiarkan tanpa jawapan, tapi hanya sekuntum senyuman yang dihadiahkan kepada ana, menyebabkan perasaan ingin tahu ana lebih mendalam.

Kebetulan, ana juga mempunyai seorang sahabat muslimin dari matrikulasi lain. Dia adalah sahabat baik ana sejak kami bersekolah, tak tahu lah kenapa dia yang menjadi sahabat baik ana, tetapi semua ini aturan Allah. Dengan izin Allah, dia menjadikan ana sahabatnya dikala ana tersisih dari kalangan sahabat-sahabat yang lain akibat bahana fitnah yang dilemparkan. Di kala itu, ana merasakan cukup terhina dan rendah diri. Apa yang ana tahu buat adalah duduk dalam kelas, ulangkaji pelajaran dan membisu seribu bahasa. Ana tidak berani untuk bergaul dengan sahabat yang lain,setelah berpindah sekolah. Pada mulanya dia juga beranggapan buruk terhadap ana, dan amat membenci ana. Ana sekadar bersabar denga ujian ini dan ana yakin, ia pasti membuahkan hasil. Itu adalah janji Allah. Dengan izin Allah, dia lah akhirnya yang selalu nasihatkan ana agar bangkit kembali, ketepikan apa yang orang kata dan cuba untuk islah diri. AlhamduliLlah, ana jadikan nasihat itu sebagai pembakar semangat. Selepas SPM, kami berjaya memasuki matrikulasi, tapi bukan matrikulasi yang sama. Tidak mengapalah kerana sekurang-kurangnya ana dan sahabat ana ini berjaya ke tempat yang diimpikan.

Suatu hari, dia bertanyakan ana berkenaan jemaah. Ana mengatakan, solat berjemaah, ana tahu lah. Dia memberikan penjelasan dengan penuh terperinci tentang jemaah. Ana amat berminat, dan terasa ingin sangat menyertainya. Di saat itu, ana teringatkan sahabat baik ana, Siti Farhiah, mungkin dia juga mengikuti jemaah ini, bisik hati ana. Selepas itu, muslimin itu memperkenalkan ana dengan seorang muslimat dari matrikulasinya untuk menjadi sahabat ana dan menjelaskan ana tentang jemaah. Mulai saat itu, ana dan muslimin itu tidak lagi berhubung. Ana faham, bukanlah caranya untuk seorang muslimin berhubung dengan seorang muslimat semata-mata kerana nak sampaikan mesej jemaah itu kerana bagi pendapat ana masih ada lagi muslimat yang boleh diamanahkan melakukan kerja itu. AlhamduliLlah, kehadiran muslimat yang bernama Ummu Afeera itu cukup banyak mengubah diri ana. AlhamduliLlah, banyak yang ana pelajari daripadanya. Semoga Allah berkati ukhuwah ini.

Masuk sem kedua matrikulasi, Siti Farhiah mengajak ana bersama-samanya. Pada saat itu, ana terasa betul-betul nak bersamanya dan sahabat-sahabat yang lain. Tetapi memikirkan "flow" tarbiyyah yang tidak diikuti dari awal, ana khuatir akan timbul masalah kelak. Jadi ana mengambil keputusan untuk tidak menyertainya lagi, cukuplah dahulu sekadar usrah dan gerak kerja Islam yang ana dapat sertai.

Memasuki alam universiti, adalah detik permulaan bagi ana untuk mencari sesuatu yang ana dambakan selama ini. Kehidupan berjamaah dengan dikelilingi oleh sahabat sahabiah yang soleh, amal Islami yang menjanjikan kesibukan pada masa-masa lapang mahupun masa sihat atau masa sakit. Bersyukur ke hadrat Allah kerana dipilih bersama sahabat sahabiah semua. Meskipun ana masih baru dalam perjuangan ini, namun banyak perkara ana belajar. Belajar untuk berkorban jua belajar untuk terkorban. Terima kasih Ya Allah atas anugerah ini.

Hidayah itu milik mutlak Allah, dan peliharalah ia jika ia diberikan kepada kita, kerana inilah tanda sayangnya Allah pada hambaNya. Kata peringatan yang sentiasa diluahkan oleh K.Jannah. Andai pernah di ketika dahulu langkah tersasar, jadikan ia sebagai pembakar semangat, hidup perlu diteruskan kerana kita masih ada tugas yang lebih penting untuk dilaksanakan.

Ya, benar kata-kata itu. Namun ana terfikir, bagaimana dengan adik-beradik ana. Adakah ana mampu bawa mereka bersama-sama. Mungkin ana sibuk mentarbiyyah sahabat-sahabiah yang lain, tetapi bagaimana dengan keluargaku sendiri?
Alangkah indahnya andai adik-adikku dapat bersamaku. Ya Allah, rezekikanlah mereka bersama kami bagi meneruskan perjuangan ini. Ameen.


Sahabat-sahabiah sekalian, peliharalah fitrah perjuangan ini dengan sebaiknya. Jika kamu seorang muslimah, jadilah muslimah yang unggul, jika kamu seorang muslimin, berusahalah ke arah menjadi mujahid yang mu'minin.

Perjuangan ini masih jauh. Terkadang kita diuji dengan hati yang meronta-ronta minta kebebasan. Namun jika difikirkan kembali, di nilai kembali, mana satukan yang kita inginkan, antara kebebasan dari gerak kerja Islam di dunia taupun kebebasab daripada azab neraka Allah nanti.

Inilah langkahku, inilah pilihanku, semoga hidupku yag masih berbaki ini menjadikan ana muslimah yang unggul dan semoga kembalinya nanti dalam sebaik-baik pengembalian. Insya-Allah.

1 comment:

Ummu Afeera said...

petikan ini berakhir pada kata-kata 'pentas puisi dan pantun' ye?