Sunday, October 12, 2008

Kalau Tuhan Ku Kenali

Kalau Tuhan ku kenali
Telah lama aku tinggalkan cinta manusia
Cinta yang dikaburi nafsu
Cinta yang menjanjikan ni'mat dunia semata

Kalau Tuhan ku kenali

Akan ku korbankan segalanya
Kerana diri ini di ajar untuk berkorban
Jua untuk terkorban
Akan ku berkorban apa sahaja keranaNya
Kerana cintakan Tuhan adalah yang termahal
Meskipun balasannya tidak di zahirkan
Namun kehadiranNya ku rasai

Kalaulah aku faham siapa Tuhan
Akan ku terima segala ujianNya
Pasti jua aku sanggup menderita keranaNya
Kalau Tuhan dikenali

Namun Tuhan
Ternyata aku belum cukup mengenaliMu
Belum memadai aku bercinta denganMu
Buktinya
Cinta aku padaMu
Telah aku sampingkan cinta manusia
Cinta aku padaMu
Telah aku sampingkan dengan cinta dunia yang menipu
Nafsu yang rakus ku turuti
Meskipun aku sedar
Ia adalah laranganMu

Tuhan
Ku titiskan air mata ini tanda kekesalan
Aku ingin kembali padaMu
Aku ingin sekali lagi mendamba cintaMu
Cinta yang menjadikan aku kuat
Cinta yang bakal membuatku redha akanMu

Tuhan
Izinkan aku mengenaliMu sekali lagi
Izinkan aku bercinta denganMu sekali lagi
Terima lah aku Tuhan
Ketenangan jiwa ini hanya dapat ku perolehi
Tatkala aku bercinta denganMu

Tuhan
Cukuplah setakat ini sahaja cinta insan padaku
Bawalah ia jauh dari minda dan hatiku
Aku belum cukup teguh untuk menghadapinya
Biarlah aku bersedia dahulu
Agar ia tidak menjadi penghalang
Antara aku dan Engkau

Tuhan
Aku redha
Dengan segala takdirMu
Aku redha jika sahabatku meninggalkan aku
Di kala aku merangkak mencariMu
Di saat aku rebah mendambakan pelukanMu
Kerana pergantunganku hanya padaMu
Kasih sayang dan pandangan simpatiMu yang aku inginkan
Kau rahmatilah dia
Sampaikan pada dia, Tuhan
Aku sayangkannya
Semoga cintaku padaMu
Bukan milikku semata
Tetapi pemula asbab
Dia juga berhak mendapat cintaMu

No comments: