Monday, October 6, 2008

Muhasabah Syawal

Ramadhan telah seminggu melabuhkan tirainya, dan kini tibalah pula untuk Syawal menziarahi kita. Setelah kita berjaya menjalani ujian dan cabaran di bulan Ramadhan, jua setelah kita hiasi malam-malam kita dengan solat sunat tarawih, tadarus Al-Quran, jua tahajjud yang kita sertakan menyaksikan keinsafan dan rasa kehambaan, kini tiba pula masanya meraikan kemenangan itu.

Dalam kesibukan dan kemeriahan menyambut Syawal ini, mungkin ada juga yang berduka kerana kehilangan orang yang tersayang. Tidak mustahil juga ada yang menangis mengenangkan memori bersama. Mungkin juga ada yang terlalu gembira menyambut kepulangan ahli keluarga di hari lebaran. Namun, saya mengajak sahabat sekalian untuk kembali meneliti sejauhmana keberkesanan ibadah kita sepanjang Ramadhan. Adakah ia diteruskan hingga kini? Ataupun ia ditinggalkan terus? Tepuk dada, ketuk hati, tanya pada iman kita.


Sahabat-sahabiah sekalian,
QiamuLlail bukan sahaja untuk bulan Ramadhan semata-mata, tadarus perlu diteruskan, puasa enam di Bulan Syawal juga dianjurkan. Rebutlah peluang yang Allah berikan ini selagi roh masih dikandung jasad, selagi mana lidah ini mampu mengalunkan keindahan kalamuLlah dan selagi segala kurniaanNya belum lagi diambil kembali.

Ayuh, gegarkan bulan Syawal ini serta bulan-bulan yang lain dengan sebaik-baik ibadah dan penghayatan. Andai Ramadhan itu ada kelompangannya, baikilah ia sebelum terlambat kerana Rahmat dan kasih serta pintu taubat Allah masih lagi terbuka luas untuk kita semua.

No comments: