Thursday, August 28, 2008

Lanskap Baru Gerakan Mahasiswa Islam: Suatu Saranan

Sumber: http://zainulfaqar.blogspot.com

Seorang sahabat telah emailkan kertas kerja cadangan ini kepada ana untuk dibaca dan diperhalusi isi kandungannya. Tergerak hati ini untuk berkongsi bersama semua ahli GMI yang belum berpeluang membaca dan membelek setiap muka surat artikel ini. Semoga ada manfaat dan kebaikan buat semua yang mencari dan kabur akan gerak kerja serta peranan sebagai Ahli GMI.Insya-Allah.


1. Kebolehan Membaca Senario Semasa


GMI seharusnya bersedia menyediakan suatu kerangka gerakan yang lebih universal dan mampu menarik penyertaan pelbagai bangsa, kepercayaan dan latar belakang idealogi politik. Kerangka gerakan ini tidak dapat tidak mesti berpaksikan pada objektif asal dan prinsip-prinsip yang dipegang selama ini iaitu Islam di samping menjadikan fiqh semasa (fiqh al-waqi’i), sains politik (fiqh as-siyasi), fiqh timbang-tara (fiqh al-muwāzanah) sebagai neraca ijtihad tambahan.

Sebagai contoh ialah kesediaan GMI menerima keahlian mahasiswa bukan Islam secara langsung dan hakiki; yang secara nyata bertentangan dengan dasar-dasar dan objektif penubuhan GMI, namun dari satu segi penyertaan ini dapat mambantu dakwah Islamiah ke atas komuniti mahasiswa bukan Islam di peringkat kampus.

Walaupun secara realistiknya, GMI seharusnya menerima hakikat bahawa perselisihan faham atau dugaan adalah suatu sunnahtuLlah (ketentuan Ilahi) kepada hamba-Nya yang beriltizam dalam gerakan Islam, ini tidak bermakna GMI perlu bergerak dalam lanskap politik yang sedia ada. GMI seharusnya mencipta “orbit” baru yang merentasi garis-garis politik kepartian yang sedia ada. Tidak dapat tidak, semua platform strategik seperti MGMUM, Jawatankuasa Pemilihan MPMUM, bahagian HEPA, Jawatankuasa Tertinggi Kolej (JTK), Persatuan Mahasiswa Luar Kampus (PUSPITA) dan sebagainya seharusnya menjadi wadah atau proksi baru GMI demi agenda perubahan, dakwah Islamiah dan mengekalkan dominasi massa di peringkat kampus.

2. Membina Jaringan Sejagat

GMI juga seharusnya meneroka dan mendominasi pelbagai platform yang strategik di peringkat nasional seperti United Malay National Organization (UMNO), PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu SeMenanjung (GPMS), PKPIM, Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan sebagainya demi menggerakan massa dan memacu kebangkitan Islam secara lebih konvensional dan formal pada masa akan datang.

Sedar atau tidak kemenangan kebanyakan Jamaah Islam melalui pilihanraya yang demokratik hakikatnya tidak bergantung pada blok Islamic secara eksklusif dan nyata, sebalinya mereka bertanding secara bebas atau menjadikan parti-parti politik yang sedia ada dan strategik sebagai batu loncatan dalam mendominasi tampuk pemerintahan negara. Tranformasi lanskap politik seumpama ini ternyata berjaya sebagaimana kemenangan Ikhwan al-Muslimin dalam Pilihanraya Mesir pada Disember 2005 lalu.

Penulis melihat langkah GMI meninggalkan beberapa aksi tradisi seperti demontrasi aman, piket, penyerahan memorandum dan sebagainya dalam aktivisme mereka merupakan suatu langkah kebelakang. Penulis menyarankan GMI memindahfungsikan pendekatan-pendekatan tradisi tersebut kepada kepada proksi-proksi lain seperti Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK), Angkatan Pemuda Islam (API) dan sebagainya demi menyegarkan arus gerakan dan “Tradisi Mencabar” yang sebelum ini disinonimkan dengan watak gerakan GMI di samping meminimakan tekanan dan persepsi-persepsi negatif terhadap tubuh GMI.

3. Memimpin Tamadun Ilmu

Pasaran masa depan bagi penulis bukan lagi memerlukan pemimpin mahasiswa Islam yang vokal semata-mata, sebaliknya satu-satu pemimpin seharusnya mempunyai perwatakan qudus yang boleh dihormati oleh semua pihak dan menjadi simbol penyatuan ummah dan mahasiswa. Setiap ahli GMI baik pemimpin (qiyadah) mahupun ahli-ahli (jundiyyah) seharusnya menguasai ilmu-ilmu turath dan sekular dalam mendepani pelbagai cabaran ilmiah daripada Islam Liberal, golongan fakis, golongan sekular dan kelompok-kelompok tertentu yang mencemburui kebangkitan gerakan Islam di Malaysia. Pembangunan bidang penyelidikan seharusnya menjadi nadi utama pada aktivisme GMI sebagai persediaan menyertai perwacanaan sosial dan dunia Islam kelak.

Untuk pergerakkan di peringkat nasional, penulis mencadangkan GMI menubuhkan lebih banyak badan bukan kerajaan demi mengisi kelompangan harakah Islamiyah. Fungsi NGO ini seharusnya bersifat “watch-dog” dan pressure groups kepada pihak kerajaan, parti-parti politik hatta negara asing namun tidak membawa aspirasi mahasiswa Islam secara nyata. Pendekatan ini mampu meminimakan tekanan ke atas mahasiswa Islam dan GMI itu sendiri.

4. Membina Mujtahid Muda

Jika GMI ingin terus mengungguli gerakan massa, GMI seharusnya memperbanyakkan wacana berhubung ijtihad-ijtihad GMI sepajang mengepalai gerakan mahasiswa Islam. Fikrah-fikrah Yang Dipertua GMI atau tokoh-tokoh GMI seharusnya dibukukan atau diinstitusikan kerana belakangan ini, penulis melihat bacaan burupa pemikiran (fikrah) semakin kecil bilangannya.

Tidak salah bagi komuniti mahasiswa Islam masih menjadikan Majmu’ ar-Rasa’il oleh Hassan al-Banna sebagai rujukan haraki, namun usia GMI melewati 5 dekad ini, sepatutnya mereka sudah mempunyai gasasan fikrah dan harakah Islamiah yang tersendiri. Segala dokumen rasmi GMI seperti memorandum, kenyataan akhbar dan aktivisme GMI sendiri seharusnya direkodkan secara serius kerana sejarah GMI akan menjadi jatidiri kepada generasi mahasiswa Islam pada masa akan datang.

5. Tahalluf Siyasi dalam Harakah

Penulis juga menyarankan GMI merintis persepakatan antara pertubuhan-pertubuhan Islam sama ada di peringkat kampus atau nasional dalam satu pertubuhan konsesi demi mendepani cabaran massa yang jauh mungkin jauh lebih complicated dan memerlukan persefahaman yang jauh lebih padu dan jitu.

Sebagai contoh, inisiatif GMI-GAMIS untuk penubuhan Angkatan Mahasiswa Islam Nasional (AMIN) menghimpunkan GAMIS, PKPIM, KARISMA, Jamaah Tabligh Malaysia, Hizbu at-Tahrir (HT), dan sebagainya dalam satu wadah demi memacu agenda dakwah Islamiyyah dan pemeliharaan agama di peringkat kampus dan nasional.

6. Kembali Pada Asas Penubuhan Jamaah

GMI disarankan supaya agar lebih agresif dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti asasi GMI seperti Usrah dan sebagainya dalam bentuk yang lebih moderate dan establish secara asimilasi dalam kerangka universiti yang sedia ada agar perkara-perkara ini menjadi suatu kelaziman bagi mereka secara sedar atau sebaliknya.

Sebagai contoh, penerapan nilai-nilai tamrin dalam aktiviti perkhemahan yang menjadi suatu kelaziman bagi pertubuhan-pertubuhan “biasa” di kampus secara tidak langsung.

7. Membina R&D Dalam Gerakan

Penulis juga menyarankan agar GMI menjalankan penyelidikan akademik ke atas aktiviti-aktiviti bekas ahli GMI secara konvesional. Dengan penyelidikan akademik ini, selain dapat memberi jawapan sahih kepada masyarakat berhubung kelangsungan aktivisme bekas-bekas ahli GMI ini, secara tidak langsung penyelidikan ini dapat memberi suatu jawapan kepada GMI sendiri tentang sejauh mana keberkesanan sistem tarbiah, dakwah dan siasah GMI dalam melahirkan generasi Islam yang mempunyai iltizam dan konsisten dalam mengisi gerakan Islam di Malaysia selepas graduan.

No comments: